Yosua Menjadi Pengganti Musa
31
1-2 Musa meneruskan ucapannya kepada umat Israel, “Sekarang aku sudah berumur seratus dua puluh tahun. Aku tidak sanggup lagi menjadi pemimpin kamu. Tambahan pula TUHAN sudah berfirman kepadaku bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan.
3 TUHAN, Allah kamu sendiri akan memimpin kamu dan membinasakan bangsa-bangsa yang tinggal di situ, supaya kamu dapat menduduki tanah mereka. Yosua akan menjadi pemimpin kamu, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.
4 TUHAN sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa itu, sebagaimana Dia mengalahkan Raja Sihon dan Raja Og, raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka.
5 TUHAN akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka tepat seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.
6 Kamu harus yakin dan berani. Jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu.”
7 Selepas itu Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan semua orang Israel, “Engkau harus yakin dan berani. Engkaulah yang akan memimpin bangsa ini untuk menduduki tanah yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang mereka.
8 TUHAN sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas.”
Taurat Mesti Dibaca Setiap Tujuh Tahun Sekali
9 Kemudian Musa menulis Taurat Allah itu dan memberikannya kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN dan kepada para pemimpin umat Israel.
10 Musa memberikan perintah kepada mereka, “Pada akhir setiap tahun ketujuh, dalam tahun penghapusan hutang, bacalah Taurat ini dengan suara kuat pada Perayaan Pondok Daun.
11 Bacalah Taurat ini bagi umat Israel apabila mereka datang untuk menyembah TUHAN, Allah kamu di satu tempat ibadat itu.
12 Suruhlah semua orang lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal di kota kamu berkumpul, supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati TUHAN, Allah kamu, serta taat kepada ajaran-Nya dengan setia.
13 Dengan cara itu, keturunan kamu yang belum pernah mendengar Taurat TUHAN, Allah kamu itu dapat mendengarnya. Oleh itu mereka akan belajar menghormati TUHAN selama mereka hidup di tanah yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan.”
Perintah Terakhir yang Diberikan TUHAN kepada Musa
14 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Engkau tidak akan hidup lama lagi. Panggillah Yosua dan bawalah dia ke Khemah-Ku, supaya Aku dapat memberikan petunjuk kepadanya.” Musa dan Yosua masuk ke dalam Khemah TUHAN,
15 dan TUHAN menampakkan diri kepada mereka dalam tiang awan dekat pintu Khemah TUHAN.
16 TUHAN berfirman kepada Musa, “Tidak lama lagi engkau akan meninggal. Setelah kepergianmu, bangsa Israel tidak akan setia kepada-Ku. Mereka akan memungkiri perjanjian yang Aku buat dengan mereka. Mereka akan meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan yang disembah di tanah yang segera akan diduduki mereka.
17 Apabila hal itu berlaku, Aku akan murka kepada mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan mereka akan binasa. Banyak malapetaka dahsyat akan menimpa mereka; kemudian mereka akan sedar bahawa semua itu berlaku kepada mereka kerana Aku, Allah mereka, tidak lagi menyertai mereka.
18 Pada masa itu Aku tidak mahu menolong mereka lagi, kerana mereka sudah berbuat jahat dan menyembah tuhan-tuhan lain.
19 Sekarang tuliskanlah nyanyian ini dan ajarkan kepada umat Israel. Nyanyian ini akan menjadi saksi terhadap mereka.
20 Aku akan membawa mereka ke tanah yang kaya dan subur itu seperti yang sudah Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Di situ mereka akan mendapat segala makanan yang diperlukan dan mereka akan hidup senang. Tetapi mereka akan berpaling daripada-Ku lalu menyembah tuhan-tuhan lain. Mereka akan menolak Aku dan memungkiri perjanjian-Ku.
21 Banyak bencana yang dahsyat akan menimpa mereka, tetapi nyanyian ini akan tetap dinyanyikan dan menjadi saksi terhadap mereka. Bahkan sekarang pun, sebelum Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, Aku sudah tahu fikiran mereka.”
22 Pada hari itu juga Musa menuliskan nyanyian itu dan mengajarkannya kepada umat Israel.
23 Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua anak Nun, “Engkau harus yakin dan berani. Engkau akan memimpin umat Israel ke tanah yang sudah Aku janjikan kepada mereka, dan Aku akan menyertai engkau.”
24 Musa menuliskan Taurat Allah di dalam sebuah kitab. Dia menuliskannya dengan teliti dari permulaan sampai akhir.
25 Setelah dia selesai menuliskannya, dia berkata kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN,
26 “Ambillah kitab Taurat Allah ini dan letakkannya di sebelah Tabut Perjanjian TUHAN, Allah kamu, supaya tetap ada di sana untuk menjadi saksi terhadap umat TUHAN.
27 Aku tahu betapa degilnya umat ini. Mereka sentiasa memberontak. Mereka telah memberontak terhadap TUHAN pada masa hidupku, dan tentu mereka akan semakin memberontak setelah aku meninggal.
28 Sekarang suruhlah semua pemimpin suku dan pegawai untuk berkumpul di hadapanku, supaya aku dapat memberitahu mereka perkara-perkara ini. Aku akan memanggil langit dan bumi menjadi saksiku terhadap mereka.
29 Aku tahu bahawa setelah aku meninggal, mereka akan menjadi jahat lalu menolak apa yang sudah aku ajarkan. Pada masa yang akan datang mereka akan ditimpa bencana, kerana mereka menyebabkan TUHAN murka dengan melakukan apa yang dilarang-Nya.”
Nyanyian Musa
30 Kemudian Musa mengucapkan seluruh nyanyian ini sementara umat Israel mendengarkannya.