5
1 Berfikirlah sebelum bercakap, dan janganlah terburu-buru berjanji kepada Allah. Allah di syurga, sedangkan kamu di bumi. Oleh itu, janganlah katakan apa-apa yang tidak perlu.
2 Semakin kamu khuatir, semakin besar kemungkinan mendapat mimpi buruk. Semakin banyak kamu bercakap, semakin besar kemungkinan mengeluarkan kata-kata bodoh.
3 Oleh itu, apabila berjanji kepada Allah, tepatilah janji itu secepat mungkin. Allah tidak suka kepada orang bodoh. Tunaikanlah janji.
4 Lebih baik tidak berjanji daripada memungkiri janji.
5 Jangan biar kata-katamu menyebabkan kamu berdosa sehingga kamu terpaksa mengaku kepada imam bahawa kamu silap mengucapkan janji. Mengapa kamu membangkitkan kemurkaan Allah terhadapmu sehingga Dia memusnahkan segala usahamu?
6 Tidak kira betapa banyaknya impian kamu, atau betapa banyaknya usaha kamu yang sia-sia itu, atau betapa banyaknya kata kamu, kamu mesti tetap takut kepada Allah.
Hidup yang Sia-Sia
7 Jangan hairan apabila melihat pemerintah menindas orang miskin dan merampas hak mereka, serta tidak memberi mereka keadilan. Tiap-tiap pegawai dilindungi oleh pegawai atasannya, dan kedua-duanya dilindungi oleh pegawai yang berpangkat lebih tinggi.
8 Bahkan raja pun bergantung kepada hasil tuaian.
9 Jika kamu mencintai wang, kamu tidak akan puas hati. Jika kamu ingin menjadi kaya, kamu tidak akan mendapat segala yang kamu ingini. Semuanya sia-sia sahaja.
10 Semakin banyak kekayaan kamu, semakin banyak tanggungan kamu. Kamu tidak mendapat keuntungan apa-apa, kamu hanya tahu bahawa kamu kaya.
11 Pekerja mungkin cukup makan atau mungkin tidak, tetapi setidak-tidaknya mereka dapat tidur nyenyak. Sebaliknya, orang kaya mempunyai begitu banyak harta sehingga mereka tidak dapat tidur kerana risau.
12 Aku melihat sesuatu yang menyedihkan di dunia ini: ada orang menyimpan wang untuk masa mereka memerlukannya.
13 Tetapi wang itu hilang dalam usaha niaga, sehingga tiada apa-apa pun yang dapat diwariskan kepada anak mereka.
14 Kita meninggalkan dunia ini seperti kita dilahirkan, tanpa apa-apa pun! Kita tidak dapat membawa apa-apa daripada segala jerih payah kita.
15 Hal ini tidak adil. Kita pergi seperti kita datang. Kita bersusah payah untuk mengejar angin dan apakah hasilnya?
16 Kita hidup dalam kegelapan dan kesedihan, kekhuatiran, kemarahan, serta kesakitan.
17 Kesimpulanku demikian: baiklah orang makan, minum, dan menikmati hasil kerja mereka dalam hidup pendek yang diberikan Allah. Itulah nasib manusia.
18 Jika Allah memberi orang harta dan kekayaan, dan membolehkan mereka menikmati kekayaan itu, haruslah mereka bersyukur dan menikmati segala hasil kerja mereka. Itu juga pemberian Allah.
19 Kerana Allah membolehkan mereka bersukacita, mereka tidak terlalu khuatir betapa pendeknya hidup ini.