Allah Memberikan Kuasa kepada Musa untuk Melakukan Mukjizat
4
Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?”
Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?”
“Tongkat,” jawab Musa.
TUHAN berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu. Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula. TUHAN berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.”
TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan. Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya. TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka. Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.”
10 Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.”
11 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN. 12 Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.”
13 Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.”
14 Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau. 15 Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan. 16 Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya. 17 Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”
Musa Balik ke Mesir
18 Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, “Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa.
19 Ketika Musa masih di Midian, TUHAN berfirman kepadanya, “Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal.” 20 Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya.
21 TUHAN berfirman kepada Musa lagi, “Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi. 22 Lalu katakanlah kepada raja itu bahawa Aku, TUHAN, berfirman begini, ‘Israel ialah anak sulung-Ku. 23 Aku telah memerintahkan engkau untuk membenarkan anak-Ku itu pergi supaya dia dapat menyembah Aku, tetapi engkau menolak. Sekarang Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’” +
24 Di suatu tempat perkhemahan di tengah perjalanan ke Mesir, TUHAN datang kepada Musa dan cuba membunuhnya. 25 Kemudian Zipora, isteri Musa, mengambil batu tajam dan memotong kulup anaknya, lalu menyentuh kakig Musa dengan potongan itu. Zipora berkata, “Engkau suami darah bagiku.” 26 Zipora berkata demikian kerana upacara sunat itu. Oleh itu TUHAN tidak membunuh Musa.
27 Sementara itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah ke padang gurun untuk menemui Musa.” Harun pergi lalu bertemu dengan Musa di gunung suci, dan Harun mencium dia. 28 Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan TUHAN ketika dia disuruh balik ke Mesir. Musa juga memberitahu segala mukjizat yang harus dilakukannya.
29 Kemudian Musa dan Harun pergi ke Mesir, lalu menghimpunkan semua pemimpin umat Israel. 30 Harun memberitahu mereka segala yang difirmankan TUHAN kepada Musa, dan Musa melakukan segala mukjizat di hadapan semua orang itu. 31 Mereka percaya, lalu sujud menyembah apabila mendengar bahawa TUHAN sudah memperhatikan mereka dan melihat segala penderitaan mereka.
+ 4:23 Kel 12.29 g 4:25 kaki: Ada yang berpendapat bahawa “kaki” bermaksud alat kelamin.