7
1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Dengarlah, Aku akan menjadikan engkau seperti Allah di hadapan raja, dan Harun, saudaramu akan bercakap kepadanya sebagai nabimu.
2 Beritahulah Harun segala perintah-Ku kepadamu. Suruhlah dia memberitahu raja supaya membenarkan orang Israel meninggalkan negerinya.
3 Tetapi Aku akan menyebabkan raja itu berdegil, dan dia tidak akan mendengar kata-kata kamu, sungguhpun Aku mendatangkan banyak bencana di Mesir.
4 Kemudian Aku akan menghukum negeri itu dengan dahsyat, lalu membawa umat-Ku Israel keluar dari Mesir.
5 Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN apabila Aku menghukum mereka dan membawa orang Israel keluar dari negeri Mesir.”
6 Musa dan Harun melakukan apa yang diperintahkan oleh TUHAN.
7 Musa berumur 80 tahun dan Harun 83 tahun ketika mereka menghadap raja Mesir.
Tongkat Harun
8 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun,
9 “Jika raja minta kamu melakukan keajaiban sebagai bukti, suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan mencampakkan tongkat itu di hadapan raja. Tongkat itu akan berubah menjadi ular.”
10 Oleh itu Musa dan Harun pergi menghadap raja dan melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Harun mencampakkan tongkatnya di hadapan raja dan para pegawainya, lalu tongkat itu berubah menjadi ular.
11 Selepas itu raja memanggil orang yang berilmu dan para tukang sihir, lalu dengan ilmu sihir, mereka melakukan perkara yang sama.
12 Mereka mencampakkan tongkat-tongkat mereka, lalu tongkat-tongkat itu berubah menjadi ular. Tetapi tongkat Harun menelan tongkat-tongkat mereka.
13 Namun raja tetap berdegil dan tidak mahu mendengar kata-kata Musa dan Harun, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.
Mesir Ditimpa Bencana
Darah
14 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Raja sangat degil; dia tidak mahu membenarkan orang Israel pergi.
15 Oleh itu pergilah menghadap raja pada waktu pagi, ketika dia turun ke Sungai Nil. Bawalah tongkat yang pernah berubah menjadi ular, dan tunggulah dia di tebing sungai.
16 Katakan kepada raja, ‘TUHAN, Allah orang Ibrani, mengutus hamba untuk menyampaikan firman-Nya kepada tuanku supaya membenarkan umat-Nya pergi untuk beribadat kepada-Nya di padang gurun. Tetapi sampai sekarang, tuanku masih tidak mahu mendengarkan firman itu.
17 Maka TUHAN berfirman bahawa tuanku akan tahu siapa TUHAN itu daripada apa yang akan dilakukan-Nya. Lihatlah, hamba akan memukul air sungai dengan tongkat ini, lalu airnya akan berubah menjadi darah.
18 Ikan akan mati, dan sungai ini akan menjadi begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum airnya.’”
19 TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah Harun mengambil tongkatnya dan menghulurkannya ke atas segala sungai, saluran air, dan kolam di Mesir. Air akan berubah menjadi darah, dan di seluruh negeri akan terdapat darah, bahkan di dalam tong kayu dan tempayan batu.”
20 Kemudian Musa dan Harun melakukan hal seperti yang diperintahkan TUHAN. Di hadapan raja dan para pegawainya, Harun mengangkat tongkatnya dan memukul air Sungai Nil. Maka air sungai itu berubah menjadi darah.
21 Ikan-ikan di dalam sungai itu mati, dan baunya begitu busuk sehingga orang Mesir tidak dapat meminum air sungai itu. Darah terdapat di seluruh negeri Mesir.
22 Kemudian tukang-tukang sihir negeri Mesir juga melakukan perkara seperti itu dengan ilmu sihir mereka, sehingga raja tetap berdegil. Seperti yang telah difirmankan TUHAN, raja tidak mahu mendengarkan kata-kata Musa dan Harun.
23 Sebaliknya, raja pulang ke istananya tanpa menghiraukan perkara yang berlaku itu sedikit pun.
24 Semua orang Mesir menggali lubang di sepanjang tebing sungai untuk mendapatkan air minum, kerana mereka tidak dapat meminum air sungai itu.
25 Tujuh hari telah berlalu sejak TUHAN mengubah air sungai itu menjadi darah.