Sara Meninggal dan Abraham Membeli Tanah Perkuburan
23
1 Ketika Sara berumur 127 tahun,
2 dia meninggal di Hebron di tanah Kanaan. Abraham sedih dan meratapi kematian isterinya.
3 Selepas itu Abraham meninggalkan jenazah isterinya lalu pergi kepada orang Het, penduduk negeri itu. Dia berkata,
4 “Saya ini orang asing yang tinggal bersama dengan saudara-saudara; izinkanlah saya membeli sebidang tanah supaya saya dapat mengebumikan isteri saya.”
5 Mereka menjawab,
6 “Kami menghormati tuan sebagai pemimpin yang berkuasa di kalangan kami; oleh itu kebumikanlah isteri tuan di kubur yang terbaik yang ada pada kami. Kami semua berbesar hati untuk memberikan tanah perkuburan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.”
7 Kemudian Abraham bersujud di hadapan mereka,
8 dan berkata, “Jika saudara-saudara rela saya mengebumikan isteri saya di sini, tolonglah minta daripada Efron anak Sohar,
9 supaya dia menjualkan Gua Makhpela yang terletak di pinggir ladangnya, kepada saya. Suruhlah dia menjual tanah itu di sini, dengan disaksikan oleh saudara-saudara. Saya akan membayar harga penuhnya supaya tanah itu menjadi milik saya.”
10 Pada masa itu Efron sendiri sedang duduk bersama dengan orang Het yang lain, di tempat perjumpaan di pintu gerbang kota. Dengan disaksikan oleh semua orang yang ada di situ, dia menjawab,
11 “Bangsa saya sendiri menjadi saksi bahawa tanah itu serta guanya saya berikan kepada tuan, supaya tuan dapat mengebumikan isteri tuan.”
12 Abraham bersujud di hadapan semua orang Het itu,
13 dan sambil didengar oleh semua orang, dia berkata kepada Efron, “Mohon dengarkan saya. Saya ingin membeli seluruh tanah itu. Terimalah wang pembayarannya supaya saya dapat mengebumikan isteri saya di situ.”
14 Efron menjawab,
15 “Tuan, tanah itu hanya bernilai empat ratus keping wang perak. Apakah itu antara kita berdua? Kebumikanlah isteri tuan di situ.”
16 Abraham bersetuju dengan harga itu. Lalu dia menimbang perak sejumlah yang disebut oleh Efron di hadapan orang Het, iaitu empat ratus keping wang perak, dengan timbangan yang digunakan oleh para saudagar.
17 Demikianlah tanah milik Efron di Makhpela, di bahagian timur Mamre, menjadi milik Abraham. Tanah itu terdiri daripada ladang dan gua serta semua pokok di situ termasuk pokok-pokok yang ada di hujung tanah itu.
18 Semua orang Het yang hadir dalam perjumpaan di pintu gerbang kota mengakui bahawa tanah itu sekarang milik Abraham.
19 Kemudian Abraham mengebumikan isterinya, Sara, di dalam Gua Makhpela, di tanah Kanaan.
20 Maka tanah dan gua di situ, yang dahulu kepunyaan orang Het, sekarang menjadi milik Abraham untuk dijadikan tanah perkuburan.