Bersedialah untuk Kedatangan Tuhan
5
Saudara-saudara seiman, kami tidak perlu menulis tentang masa dan waktu, apabila perkara-perkara ini akan berlaku. Hal itu demikian kerana kamu sendiri tahu dengan jelas bahawa Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri datang pada malam hari. + Apabila orang berkata, “Semuanya aman dan tenteram,” pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba dan tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Hal itu akan berlaku dengan tiba-tiba seperti rasa sakit yang dialami seorang wanita semasa hendak melahirkan anak. Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya, orang yang tergolong pada siang yang terang. Kita bukan orang yang hidup dalam kegelapan, atau yang tergolong pada malam yang gelap. Oleh itu kita tidak seharusnya tidur seperti orang lain. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada. Orang tidur pada malam hari; orang pun mabuk pada malam hari. Tetapi kita ini orang yang tergolong pada siang yang terang. Oleh itu kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi. + Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 10 Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. 11 Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini.
Petunjuk-Petunjuk Terakhir dan Salam
12 Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya menghormati mereka yang bekerja di kalangan kamu. Mereka memimpin dan menasihati kamu dalam kehidupan kamu sebagai orang Kristian. 13 Perlakukanlah mereka dengan penuh hormat dan kasihilah mereka, kerana semuanya yang dilakukan oleh mereka. Hendaklah kamu hidup rukun.
14 Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang. 15 Janganlah seorang pun membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi kamu harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang.
16 Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, 17 dan berdoalah sentiasa. 18 Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.
19 Janganlah halang Roh Allah. 20 Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah. 21 Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, 22 dan jauhilah segala macam kejahatan.
23 Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 24 Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia.
25 Doakanlah kami, saudara-saudara seiman.
26 Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian.
27 Dengan kuasa Tuhan, aku menggesa kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman.
28 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.
+ 5:2 Mat 24.43; Luk 12.39; 2 Ptr 3.10 + 5:8 Yes 59.17; Ef 6.13-17