Allah Akan Menghukum Babel
13
1 Inilah perkhabaran Allah tentang Babel yang diterima oleh Yesaya anak Amos.
2 Kibarkanlah panji perang di atas bukit yang gondol! Berserulah kepada para askar. Angkatlah lenganmu sebagai tanda bagi mereka untuk menyerang pintu-pintu gerbang kota yang sombong itu.
3 TUHAN telah memanggil askar-askar pilihan-Nya. Mereka perkasa, percaya diri, dan dibanggakan-Nya. Dia menugaskan mereka untuk menghukum orang yang kena kemurkaan-Nya.
4 Dengarlah keriuhan di atas gunung, seperti banyak orang yang berkumpul. Dengarlah kegemparan bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan yang sedang berhimpun. TUHAN Yang Maha Kuasa sedang mengatur pasukan perang.
5 Mereka datang dari negeri-negeri jauh, di hujung bumi. Kerana kemurkaan-Nya, TUHAN akan datang untuk memusnahkan seluruh bumi.
6 Merataplah kerana hari TUHAN sudah dekat, masa TUHAN Yang Maha Kuasa mendatangkan kebinasaan.
7 Tangan setiap orang akan menjadi lemah, dan semangat setiap orang akan hilang.
8 Mereka akan ketakutan dan kesakitan seperti perempuan yang sedang bersalin. Mereka akan saling memandang dengan cemas, dan muka mereka merah kerana malu.
9 Hari TUHAN itu akan tiba, dan pada hari itu TUHAN akan melampiaskan kemurkaan-Nya yang dahsyat. Bumi akan menjadi tandus, dan setiap orang yang berdosa akan dibinasakan.
10 Setiap bintang dan gugusan bintang akan berhenti bersinar. Matahari akan menjadi gelap pada waktu fajar, dan bulan tidak akan bersinar.
11 TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum dunia kerana kejahatannya, dan semua orang kerana dosa mereka. Aku akan merendahkan setiap orang yang sombong, dan menghukum setiap orang yang tinggi hati serta kejam.
12 Orang yang terselamat daripada bencana itu kecil sekali bilangannya, lebih sedikit daripada emas tulen.
13 Aku akan menyebabkan langit gementar, dan bumi bergoncang dari tempatnya pada hari itu, apabila Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa menunjukkan kemurkaan-Ku.
14 Orang bangsa asing yang tinggal di Babel akan lari ke negeri masing-masing. Mereka tercerai-cerai seperti rusa yang melarikan diri daripada pemburu, atau seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala.
15 Sesiapa yang tertangkap akan ditikam sampai mati.
16 Mereka akan menyaksikan bayi mereka dipukul sampai mati, rumah mereka dijarah, dan isteri mereka diperkosa.”
17 TUHAN berfirman, “Aku akan menggerakkan orang Madai supaya menyerang Babel. Mereka tidak mempedulikan perak, dan tidak tergoda oleh emas.
18 Dengan busur dan panah, mereka akan membunuh orang muda. Mereka tidak menunjukkan belas kasihan kepada bayi ataupun kanak-kanak.
19 Antara semua kerajaan, Babilonia adalah yang paling indah dan menjadi kebanggaan rakyatnya. Tetapi Aku, TUHAN, akan memusnahkan kota Babel sebagaimana Aku memusnahkan Sodom dan Gomora!
20 Tiada sesiapa akan tinggal di situ lagi. Tiada pengembara Arab akan memasang khemahnya di situ, dan tiada gembala akan membawa domba untuk merumput di situ.
21 Tempat itu akan didiami binatang liar dan burung hantu. Burung unta akan tinggal di situ, dan kambing hutan akan berkeliaran di seluruh runtuhan itu.
22 Menara-menara dan istana-istana akan bergema dengan suara anjing hutan dan serigala. Saat kehancuran Babel hampir tiba, dan waktunya tidak ditunda lagi.”