Orang Asyur Mengancam Yerusalem
(2 Raj 18.13-27; 2 Taw 32.1-19)
36
Pada tahun keempat belas pemerintahan Hizkia raja Yehuda, kota-kota berkubu di Yehuda diserang dan ditawan oleh Raja Sanherib, raja Asyur. Selepas itu Raja Sanherib mengarah ketua pegawainya berangkat dari Lakhis dan pergi ke Yerusalem bersama dengan satu pasukan tentera yang besar untuk memaksa Raja Hizkia menyerah diri. Pegawai itu mengambil tempat di jalan, tempat pembuat kain bekerja, dekat saluran yang menyalurkan air dari kolam di sebelah atas. Tiga orang dari Yehuda datang menemuinya, iaitu Elyakim anak Hilkia, pengurus istana; Sebna, setiausaha istana; dan Yoah anak Asaf, setiausaha negara. Pegawai Asyur itu berkata kepada mereka, “Sampaikanlah titah raja Asyur kepada Raja Hizkia, ‘Mengapa kamu begitu yakin? Adakah kamu menyangka bahawa kata-kata dapat menggantikan kecekapan dan kekuatan tentera? Siapakah yang kamu harap untuk menolong kamu memberontak terhadap Asyur? Kamu mengharapkan bantuan dari Mesir, tetapi hal itu seperti orang yang menggunakan gelagah sebagai tongkat. Tongkat itu akan patah dan menusuk tangan kamu sendiri. Begitulah raja Mesir terhadap sesiapa yang berharap kepadanya.’” +
Pegawai Asyur itu meneruskan kata-katanya lagi, “Atau mungkin kamu berkata bahawa kamu berharap kepada TUHAN, Allah kamu. Pada waktu Raja Hizkia memerintahkan orang Yehuda dan Yerusalem supaya beribadat di satu mazbah sahaja, yang dimusnahkannya itu mazbah dan tempat-tempat penyembahan kepada TUHAN sendiri. Aku akan bertaruh dengan kamu demi nama raja Asyur. Aku akan memberikan dua ribu ekor kuda kepada kamu jika kamu mempunyai orang sebanyak itu untuk menunggangi semua kuda itu! Kamu tidak dapat melawan kami bahkan pegawai Asyur yang paling rendah, namun kamu mengharap orang Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu. 10 Adakah kamu menyangka bahawa aku menyerang negeri kamu dan memusnahkannya tanpa pertolongan TUHAN? TUHAN sendiri menyuruh aku menyerangnya serta memusnahkannya.”
11 Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah berkata kepada pegawai itu, “Tuan, bertuturlah kepada kami dalam bahasa Aram. Kami faham akan bahasa itu. Janganlah bertutur dalam bahasa Ibrani. Semua orang di atas tembok itu dapat memahaminya.”
12 Pegawai itu menjawab, “Adakah kamu menyangka bahawa raja Asyur menyuruh aku menyampaikan semua hal ini kepada kamu dan raja kamu sahaja? Tidak. Aku juga menyampaikan semua hal ini kepada orang yang duduk di atas tembok itu, kerana mereka pun mesti makan najis dan minum air kencing sendiri seperti kamu.”
13 Kemudian pegawai itu berdiri dan berseru dalam bahasa Ibrani, “Dengarlah titah raja Asyur kepada kamu! 14 Baginda memberi kamu amaran supaya kamu tidak ditipu oleh Raja Hizkia. Raja Hizkia tidak dapat menyelamatkan kamu. 15 Jangan biar raja kamu menyuruh kamu berharap kepada TUHAN. Jangan sangka TUHAN akan menyelamatkan kamu, dan menghalangi angkatan tentera Asyur merebut kota kamu. 16 Jangan dengarkan Raja Hizkia. Raja Asyur memerintahkan kamu supaya keluar dari kota dan menyerah diri. Kamu semua akan dibenarkan makan buah anggur dari pokok anggur kamu sendiri, dan buah ara dari pokok ara kamu sendiri, dan minum air dari perigi kamu sendiri, 17 sehingga raja Asyur memindahkan kamu ke negeri yang serupa dengan negeri kamu. Di sana ada banyak ladang anggur yang menghasilkan wain, dan banyak gandum untuk dibuat roti. 18 Jangan ditipu oleh Raja Hizkia. Jangan sangka TUHAN akan menyelamatkan kamu. Dewa-dewa bangsa manakah pernah menyelamatkan negerinya daripada raja Asyur? 19 Di manakah dewa-dewa negeri Hamat dan Arpad sekarang? Di manakah dewa-dewa negeri Sefarwaim? Pernahkah sesiapa menyelamatkan Samaria? 20 Dewa yang manakah pernah menyelamatkan negerinya daripada raja kami? Mengapakah kamu berfikir bahawa TUHAN dapat menyelamatkan Yerusalem?”
21 Rakyat diam sahaja seperti yang diperintahkan oleh Raja Hizkia. Mereka tidak mengeluarkan sepatah kata pun. 22 Kemudian Elyakim, Sebna, dan Yoah mengoyakkan pakaian mereka kerana sedih. Mereka pergi melaporkan kata-kata pegawai Asyur itu kepada Raja Hizkia.
+ 36:6 Yeh 29.6-7