9
1 Orang yang berjalan dalam kegelapan
telah melihat cahaya yang sangat terang.
Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut,
tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang.
2 Ya TUHAN, Engkau telah memberi mereka kesukaan besar,
Engkau membahagiakan mereka.
Mereka bersukacita kerana perbuatan-Mu,
seperti orang bersukacita semasa menuai hasil tanaman,
atau membahagi-bahagikan barang jarahan.
3 Engkau sudah mengambil beban mereka yang berat,
dan kayu pikulan dari bahu mereka.
Engkau telah mengalahkan bangsa yang menindas dan memperdaya umat-Mu,
sebagaimana Engkau mengalahkan tentera Midian dahulu kala.
4 Kasut yang dipakai oleh tentera yang menyerang
dan segala pakaian mereka yang berlumuran darah
akan dibakar habis oleh api.
5 Seorang anak telah dilahirkan bagi kita!
Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita!
Dia akan menjadi pemimpin kita.
Dia akan disebut “Penasihat Bijaksana,”
“Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,”
“Raja Damai.”
6 Kekuasaan-Nya akan terus bertambah;
pemerintahan-Nya akan sentiasa aman.
Dia akan memerintah sebagai ganti Raja Daud,
pemerintahan-Nya akan berdasarkan hukum dan keadilan
dari sekarang hingga akhir zaman.
TUHAN Yang Maha Kuasa pasti melakukan segala perkara ini.
TUHAN Akan Menghukum Israel
7 Tuhan telah menjatuhkan hukuman kepada kerajaan Israel, iaitu keturunan Yakub.
8 Semua penduduk Israel dan kota Samaria akan mengetahui bahawa Dialah yang melakukan hal ini. Sekarang mereka sombong dan tinggi hati. Mereka berkata,
9 “Bangunan-bangunan yang dibuat daripada batu bata telah roboh, tetapi kami akan menggantikannya dengan bangunan-bangunan daripada batu pahat. Kayu ara telah ditebang, tetapi kami akan menggantikannya dengan kayu sedar yang terbaik.”
10 TUHAN telah menggerakkan musuh mereka untuk menyerang mereka.
11 Bangsa Siria di timur dan bangsa Filistin di barat telah mengangakan mulut untuk menelan Israel. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka.
12 Umat Israel masih belum bertaubat. Walaupun TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum mereka, tetapi mereka masih belum kembali kepada-Nya.
13 Dalam sehari sahaja TUHAN akan menghukum pemimpin-pemimpin Israel bersama-sama rakyat. Dia akan memenggal dan membuang kepala serta ekor Israel.
14 Kepala Israel ialah orang tua-tua dan orang terhormat, dan ekornya ialah nabi-nabi yang memberi ajaran yang menyesatkan!
15 Pemimpin-pemimpin rakyat telah menyesatkan dan mengelirukan rakyat.
16 Oleh itu, Tuhan tidak akan membenarkan orang muda mereka melepaskan diri. Dia tidak akan menunjukkan belas kasihan terhadap balu dan anak yatim piatu, kerana semua umat itu telah membuang iman dan derhaka. Segala perkataan mereka jahat. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka.
17 Kejahatan umat itu berkobar seperti api yang memusnahkan semak berduri dan lalang. Nyalanya seperti hutan terbakar yang mengepul-ngepulkan asap.
18 Kerana TUHAN Yang Maha Kuasa sangat murka, hukuman-Nya seperti api yang membakar seluruh negeri itu serta penduduknya. Tiap-tiap orang hanya mementingkan diri sendiri.
19 Di seluruh negeri itu orang merenggut dan memakan apa-apa sahaja yang dapat dimakan, namun mereka tidak kenyang. Bahkan mereka makan saudara sendiri.
20 Penduduk Manasye dan penduduk Efraim menyerang satu sama lain, lalu mereka bersama-sama menyerang Yehuda. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka.