Dua Bakul Buah Ara
24
Pada suatu masa TUHAN memberikan satu penglihatan kepadaku. Hal itu berlaku selepas Raja Yoyakhin putera Raja Yoyakim dari Yehuda, bersama dengan para pegawai pemerintah Yehuda, tukang dan pekerja mahir, ditawan oleh Raja Nebukadnezar dari Babilonia, dan dibawa sebagai tawanan dari Yerusalem ke Babilonia. Aku nampak dua buah bakul yang berisi buah ara terletak di hadapan Rumah TUHAN. Bakul yang pertama berisi buah ara yang baik, seperti buah ara yang mula-mula masak, sedangkan bakul yang kedua berisi buah ara yang busuk, sehingga tidak dapat dimakan. Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, apakah yang engkau nampak?”
Aku menjawab, “Aku nampak buah ara. Buah yang baik sangat baik, dan buah yang busuk sangat busuk sehingga tidak dapat dimakan.”
TUHAN berfirman lagi, “Aku, TUHAN, Allah Israel menganggap orang yang telah diangkut ke Babilonia itu seperti buah ara yang baik ini, dan Aku akan memperlakukan mereka dengan baik. Aku akan menjaga mereka dan membawa mereka kembali ke negeri ini. Aku akan membina mereka, dan tidak meruntuhkan mereka; Aku akan menegakkan mereka, dan tidak mencabut mereka. Aku akan memberikan kemahuan kepada mereka untuk memahami bahawa Akulah TUHAN. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka, kerana mereka akan kembali kepada-Ku dengan sepenuh hati.
Tetapi Aku, TUHAN akan memperlakukan orang berikut seperti buah ara yang busuk, yang tidak dapat dimakan: Raja Zedekia dari Yehuda, dan para pegawainya, serta penduduk Yerusalem yang lain, yang tetap tinggal di negeri ini atau yang telah berpindah ke Mesir. Aku akan mendatangkan bencana kepada mereka sehingga semua bangsa di seluruh dunia takut. Mereka akan diejek, dijadikan bahan tertawaan dan dipermalukan. Di mana sahaja Aku mencerai-beraikan mereka, nama mereka akan digunakan sebagai kutuk. 10 Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak kepada mereka sehingga mereka semua mati, dan tiada orang yang tertinggal di negeri yang telah Kuberikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.”