Kota Babel Dikalahkan
50
Inilah firman TUHAN yang disampaikan-Nya kepadaku tentang kota Babel dan penduduknya:
“Khabarkanlah berita itu kepada bangsa-bangsa!
Isytiharkanlah berita itu!
Kibarkanlah panji-panji dan umumkanlah berita itu!
Janganlah rahsiakan berita itu!
Kota Babel telah jatuh!
Merodakh, dewanya telah dihancurkan!
Berhala-berhala Babel telah dipermalukan,
patung-patungnya yang menjijikkan telah diremukkan!
Suatu bangsa dari utara telah datang untuk menyerang Babilonia dan menjadikan negeri itu gurun. Manusia dan binatang akan lari, dan tiada lagi yang akan tinggal di situ.”
Israel Kembali dari Pembuangan
TUHAN berfirman, “Apabila masa itu tiba, penduduk Israel dan Yehuda akan datang bersama-sama sambil menangis dan mencari Aku, Allah mereka. Mereka akan menanyakan jalan ke Sion, lalu menuju ke arah itu. Mereka akan membuat satu perjanjian kekal dengan Aku, dan tidak akan memungkirinya sampai selama-lamanya.
Umat-Ku seperti kawanan domba yang telah dibiarkan sesat di gunung-gunung oleh gembala-gembala mereka. Mereka seperti domba yang mengembara dari gunung ke gunung, dan sudah lupa akan tempat tinggal mereka. Mereka diserang oleh sesiapa sahaja yang nampak mereka. Musuh mereka berkata, ‘Umat ini telah berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu apa yang kita lakukan tidak salah. Nenek moyang mereka percaya kepada TUHAN, dan seharusnya mereka pun tetap setia kepada-Nya.’
Hai umat Israel, larilah dari Babilonia! Tinggalkanlah negeri itu! Kamu seharusnya yang terdahulu meninggalkan negeri itu! + Aku akan membangkitkan beberapa bangsa yang kuat dari utara, dan menyebabkan mereka menyerang Babilonia. Mereka akan mengatur barisan untuk bertempur dengan Babilonia, lalu mengalahkannya. Mereka pemburu yang mahir. Apabila mereka memanah, panah mereka pasti mengenai sasaran. 10 Babilonia akan dijarah, dan orang yang menjarahnya akan mengambil apa sahaja yang dikehendaki mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Kejatuhan Babel
11 TUHAN berfirman, “Hai penduduk Babilonia, kamu telah menjarah umat-Ku. Kamu gembira dan bersukacita, melompat-lompat seperti lembu yang mengirik gandum atau seperti kuda yang meringkik, 12 tetapi kota kamu sendiri yang besar itu akan dihina dan dipermalukan. Babilonia akan menjadi kerajaan yang paling tidak penting antara semua kerajaan. Babilonia akan menjadi gurun yang kering dan kersang. 13 Oleh sebab kemurkaan-Ku, tiada sesiapa pun akan tinggal di Babel. Babel akan menjadi runtuhan, dan semua orang yang lalu di situ akan terkejut dan hairan.
14 Hai pasukan pemanah, aturlah barisan dan kepunglah Babel. Bidikkanlah segala panah kamu ke Babel, kerana Babel telah berdosa terhadap Aku, TUHAN. 15 Pekikkanlah tempik peperangan di sekeliling kota itu! Sekarang Babel telah menyerah. Tembok pertahanannya telah ditembusi dan dirobohkan. Aku sedang membalas dendam-Ku terhadap orang Babilonia. Oleh itu balaslah dendam kamu, dan perlakukanlah mereka sebagaimana mereka telah memperlakukan orang lain. 16 Jangan biar orang bercucuk tanam atau menuai di negeri itu. Semua orang bangsa asing yang tinggal di situ akan takut terhadap tentera yang menyerang mereka, lalu pulang ke negeri masing-masing.”
Israel Kembali dari Pembuangan
17 TUHAN berfirman, “Umat Israel seperti kawanan domba yang dikejar dan dicerai-ceraikan oleh singa. Mula-mula mereka diserang oleh raja Asyur, kemudian Raja Nebukadnezar dari Babilonia, mengerumit tulang-tulang mereka. 18 Oleh sebab itu, Aku TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, akan menghukum Raja Nebukadnezar dan negerinya, sebagaimana Aku telah menghukum raja Asyur. 19 Aku akan mengembalikan umat Israel ke tanah air mereka. Mereka akan makan daripada hasil tanaman yang tumbuh di Gunung Karmel dan di daerah Basan. Mereka akan makan sebanyak yang diingini mereka daripada hasil tanaman yang tumbuh di wilayah Efraim dan Gilead. 20 Pada masa itu, dosa tidak akan terdapat lagi di Israel, dan kejahatan pun tidak akan ada lagi di Yehuda, kerana Aku akan mengampuni orang yang telah Aku selamatkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Hukuman terhadap Babilonia
21 TUHAN berfirman kepada musuh Babilonia, “Seranglah penduduk Merataim dan Pekod. Bunuhlah dan binasakanlah mereka. Laksanakanlah segala perintah-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman. 22 Bunyi pertempuran kedengaran di negeri itu, dan kehancuran besar terjadi. 23 Dahulu Babilonia menukul seluruh dunia sehingga hancur, tetapi sekarang penukulnya sudah remuk-redam. Semua bangsa terkejut melihat apa yang telah berlaku terhadap negeri itu. 24 Hai Babilonia, engkau melawan Aku dan engkau telah masuk ke dalam perangkap yang Aku pasang untukmu, walaupun engkau tidak menyedarinya. 25 Aku telah membuka tempat penyimpanan senjata-Ku. Dalam kemurkaan-Ku, Aku telah mengeluarkan senjata-Ku, kerana Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, harus menjalankan tugas di Babilonia. 26 Seranglah negeri itu dari segala arah, dan kamu harus memecah masuk ke dalam semua gudang biji-bijian! Tumpukkan barang jarahan seperti biji-bijian ditumpukkan! Musnahkanlah negeri itu! Jangan tinggalkan apa-apa! 27 Bunuhlah semua askar mereka! Sembelihlah mereka semua! Malanglah penduduk Babilonia! Sudah tiba waktunya mereka dihukum!”
( 28 Orang pelarian melarikan diri dari Babilonia lalu datang ke Yerusalem; mereka menceritakan bagaimana TUHAN, Allah kita membalas perbuatan orang Babilonia terhadap Rumah TUHAN.)
29 “Suruhlah pasukan pemanah menyerang Babel. Kerahlah setiap orang yang tahu menggunakan busur dan panah. Kepunglah kota itu dan jangan benarkan sesiapa pun melarikan diri. Balaslah segala perbuatan Babel; perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan orang lain, kerana Babel bertindak dengan angkuh terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel. + 30 Itulah sebabnya kaum pemuda Babel akan dibunuh di jalan-jalan kota, dan semua askarnya dibinasakan pada hari itu. Aku, TUHAN, telah berfirman.
31 Hai Babilonia, engkau penuh kesombongan. Itulah sebabnya Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa, menentang engkau! Tibalah masanya Aku menghukum engkau. 32 Bangsamu yang sombong itu akan tersandung dan jatuh. Tiada sesiapa pun akan menolong engkau bangun. Aku akan membakar kota-kotamu, dan semua yang di sekitarnya akan musnah.”
33 TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Orang Israel dan Yehuda ditindas. Semua orang yang menangkap mereka mengawal mereka dengan ketat dan tidak mahu melepaskan mereka. 34 Tetapi Dia yang akan menyelamatkan mereka itu kuat; nama-Nya ialah TUHAN Yang Maha Kuasa. Dia sendiri akan memperjuangkan perkara mereka, lalu membawa kedamaian ke bumi, tetapi Dia mendatangkan kesusahan kepada orang Babilonia.”
35 TUHAN berfirman,
“Binasalah Babilonia!
Binasalah penduduknya,
para pemimpinnya dan orangnya yang bijaksana.
36 Binasalah nabi-nabinya yang berdusta -
sungguh bodoh mereka!
Binasalah askar-askarnya -
alangkah takutnya mereka!
37 Musnahkan semua kuda dan kereta kudanya!
Binasalah askar upahannya -
alangkah lemahnya mereka!
Musnahkan kekayaannya;
rampaslah dan jarahlah.
38 Biarlah tanahnya menjadi kersang,
dan sungai-sungainya menjadi kering.
Babilonia penuh dengan berhala yang mengerikan,
berhala yang menyebabkan pemujanya menjadi gila.
39 Oleh itu Babel akan menjadi tempat jin-jin dan roh-roh jahatd serta burung-burung najis. Orang tidak akan tinggal di sana lagi sampai selama-lamanya. + 40 Sebagaimana Aku memusnahkan Sodom dan Gomora bersama dengan pekan-pekan di sekitarnya, begitu juga Aku akan memusnahkan Babel. Tiada seorang pun akan tinggal di sana lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman. +
41 Orang sedang datang dari utara,
suatu bangsa yang kuat dari negeri jauh;
banyak raja sedang bersedia untuk berperang.
42 Mereka bersenjatakan panah dan pedang;
mereka kejam dan bengis.
Bunyi derap kuda seperti laut bergelora,
apabila mereka menunggang kuda.
Mereka siap untuk menyerang Babilonia.
43 Raja Babilonia mendengar berita itu,
dan menjadi lemah.
Dia dicekam perasaan susah,
dan menderita seperti perempuan yang sedang bersalin.
44 Sebagaimana singa keluar dari hutan tebal di pinggir Sungai Yordan, lalu naik ke padang rumput yang hijau, demikian juga Aku, TUHAN, akan datang dan menyebabkan orang Babilonia lari dengan tiba-tiba dari kota mereka. Kemudian pemimpin yang Aku pilih akan memerintah negeri itu. Siapakah yang setara dengan Aku? Siapakah yang berani mencabar Aku? Penguasa manakah yang sanggup menentang Aku? 45 Oleh itu dengarlah akan rancangan-Ku untuk menentang kota Babel, dan apa yang hendak Aku lakukan terhadap penduduknya. Anak-anak mereka pun akan diseret pergi, dan semua orang akan ketakutan. 46 Apabila Babel jatuh, bunyinya begitu kuat sehingga seluruh bumi goncang, dan tangisan penduduknya didengar oleh bangsa-bangsa lain.”
+ 50:8 Why 18.4 + 50:29 Why 18.6 d 50:39 jin-jin dan roh-roh jahat; atau binatang hutan dan serigala. + 50:39 Why 18.2 + 50:40 Kej 19.24-25