Tanah yang Belum Direbut
13
Sekarang Yosua sudah sangat tua. TUHAN berfirman kepadanya, “Engkau sudah sangat tua, tetapi masih banyak lagi tanah yang mesti direbut: semua wilayah Filistin dan Gesur, dan juga seluruh wilayah Awi ke arah selatan. (Tanah dari Sungai Sikhor di sempadan Mesir, sampai ke sempadan Ekron di utara, dianggap sebagai tanah orang Kanaan; raja-raja orang Filistin tinggal di Gaza, Asdod, Askelon, Gat, dan Ekron.) Tanah yang masih harus direbut: seluruh negeri Kanaan dan Meara (milik orang Sidon), sampai ke Afek di sempadan negeri orang Amori; tanah orang Gebal; seluruh kawasan Lebanon ke arah timurnya, dari Baal-Gad di sebelah selatan Gunung Hermon sampai ke Genting Hamat; termasuk juga seluruh negeri orang Sidon, yang tinggal di perbukitan di antara Pergunungan Lebanon dan Misrefot-Maim. Aku akan mengusir semua orang itu apabila umat Israel menyerang mereka. Bahagikanlah dan berikanlah tanah itu kepada umat Israel sebagai milik mereka, sebagaimana yang telah Aku perintahkan kepadamu. + Sekarang, bahagi-bahagikanlah tanah itu kepada sembilan suku yang lain dan setengah daripada suku Manasye supaya menjadi tanah milik mereka.”
Pembahagian Tanah di sebelah Timur Sungai Yordan
Suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye telah mendapat bahagian tanah yang diberikan oleh Musa, hamba TUHAN; kawasan tanah itu di sebelah timur Sungai Yordan. + Wilayah mereka meliputi Aroer (di tepi lembah Sungai Arnon) dan kota yang di tengah-tengah lembah itu, termasuk semua dataran tinggi dari Medeba sampai ke Dibon. 10 Tanah mereka terbentang luas sampai ke sempadan Amon, termasuk semua kota yang diperintah oleh Raja Sihon, raja orang Amori, yang pernah memerintah di Hesybon; 11 termasuk juga daerah Gilead, daerah di sekitar Gesur dan Maakha, seluruh kawasan Gunung Hermon, dan seluruh daerah Basan sampai ke Salkha. 12 Tanah mereka meliputi kerajaan Raja Og, raja yang pernah memerintah di Asytarot dan Edrei. Raja Og ialah keturunan yang terakhir sekali daripada orang Refaim.o Musa telah mengalahkan semua orang itu dan mengusir mereka. 13 Tetapi orang Israel tidak mengusir penduduk Gesur dan Maakha; mereka masih tinggal di Israel.
14 Musa tidak memberikan tanah kepada suku Lewi kerana menurut perintah TUHAN kepada Musa, mereka diberikan bahagian daripada korban-korban yang dibakar di atas mazbah untuk TUHAN, Allah Israel. +
Wilayah untuk Suku Ruben
15 Musa telah memberikan sebahagian tanah kepada keluarga-keluarga suku Ruben sebagai milik mereka. 16 Wilayah mereka meliputi Aroer (di tepi lembah Sungai Arnon) dan kota di tengah-tengah lembah itu, termasuk seluruh dataran tinggi di sekitar Medeba. 17 Wilayah itu meliputi Hesybon dan semua kota di dataran tinggi: Dibon, Bamot-Baal, Bet-Baal-Meon, 18 Yahas, Kedemot, Mefaat, 19 Kiryataim, Sibma, Zeret-Hasahar di atas bukit di lembah itu, 20 Bet-Peor, lereng Gunung Pisga, dan Bet-Yesimot. 21 Wilayah itu juga meliputi semua kota di dataran tinggi dan seluruh kerajaan Raja Sihon, raja orang Amori yang pernah memerintah di Hesybon. Musa mengalahkan baginda dan penguasa-penguasa Midian: Ewi, Rekem, Zur, Hur, dan Reba. Semua orang ini pernah memerintah tanah itu bagi Raja Sihon. 22 Antara orang yang dibunuh oleh umat Israel ialah Bileam anak Beor, tukang tilik itu. 23 Sungai Yordan menjadi sempadan wilayah Ruben di sebelah barat. Itulah semua kota dan pekan yang diberikan kepada semua keluarga suku Ruben sebagai milik mereka.
Wilayah untuk Suku Gad
24 Musa juga telah memberikan sebahagian tanah kepada keluarga-keluarga suku Gad sebagai milik mereka. 25 Wilayah mereka meliputi Yaezer, semua kota Gilead, separuh daripada tanah Amon sampai ke Aroer di sebelah timur Raba. 26 Tanah mereka terbentang luas dari Hesybon ke Ramat-Mizpa dan Betonim, dari Mahanaim sampai ke sempadan Lodebar. 27 Di Lembah Yordan, wilayah itu meliputi Bet-Haram, Bet-Nimra, Sukot, dan Zafon, iaitu kawasan lain kerajaan Raja Sihon dari Hesybon. Di sebelah barat, sempadan wilayah itu ialah Sungai Yordan, sampai ke Tasik Galilea di utara. 28 Itulah semua kota dan pekan yang diberikan kepada semua keluarga suku Gad sebagai milik mereka.
Wilayah untuk Suku Manasye Timur
29 Musa juga telah memberikan sebahagian tanah kepada semua keluarga dalam setengah daripada suku Manasye sebagai milik mereka. 30 Wilayah mereka meliputi Mahanaim dan seluruh Basan, iaitu seluruh kerajaan Raja Og dari Basan, termasuk enam puluh buah kampung Yair di daerah Basan. 31 Kawasan mereka juga meliputi separuh daerah Gilead termasuk Asytarot dan Edrei, dua buah ibu kota kerajaan Raja Og di daerah Basan. Seluruh kawasan itu diberikan kepada separuh daripada keluarga-keluarga keturunan Makhir anak Manasye.
32 Begitulah cara Musa membahagikan tanah di sebelah timur Yerikho dan Sungai Yordan ketika dia di dataran rendah Moab. 33 Tetapi Musa tidak memberikan bahagian tanah mana pun kepada suku Lewi. Musa memberitahu mereka bahawa bahagian mereka adalah daripada korban-korban yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah Israel. +
+ 13:6 Bil 33.54 + 13:8 Bil 32.33; Ul 3.12 o 13:12 Refaim: Lihat 12.4. + 13:14 Ul 18.1 + 13:33 Bil 18.20; Ul 18.2