Elia di atas Gunung Sinai
19
Raja Ahab memberitahu Izebel isterinya, segala yang telah dilakukan Elia, dan juga cara Elia membunuh semua nabi Baal. Izebel mengirim berita kepada Elia, katanya, “Biarlah para dewa membunuh aku, jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan engkau seperti engkau memperlakukan nabi-nabi itu.” Elia ketakutan, lalu dia dan hambanya lari ke Bersyeba di Yehuda.
Elia meninggalkan hambanya di situ, lalu berjalan sepanjang hari ke padang gurun. Kemudian dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok; dia ingin mati. Dia berdoa, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” +
Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.” Elia melihat di sekelilingnya dan nampak seketul roti bakar dan sebuah kendi berisi air dekat kepalanya. Dia makan dan minum, lalu berbaring semula. Malaikat TUHAN kembali dan membangunkannya sekali lagi. Katanya, “Bangunlah dan makanlah, supaya engkau tahan dalam perjalanan yang jauh.” Elia bangun dan makan; makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama empat puluh hari ke Gunung Sinai,n Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua.
Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?”
10 Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” +
11 TUHAN berfirman kepadanya, “Keluarlah dari gua itu dan berdirilah di hadapan-Ku di puncak gunung.” Kemudian TUHAN lalu di sana. Angin ribut yang membelah gunung dan memecah bukit batu mendahului TUHAN, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam angin ribut itu. Setelah angin ribut itu berhenti, gempa berlaku, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam gempa itu. 12 Selepas itu, api datang, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam api itu. Kemudian suasana menjadi senyap, lalu terdengar suatu suara yang lembut bagaikan bisikan.
13 Apabila Elia mendengar suara itu, dia menutup muka dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di mulut gua itu. Kemudian terdengarlah suara berkata kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?”
14 Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!”
15 TUHAN berfirman kepadanya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria. + 16 Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau. + 17 Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael akan dibunuh Yehu, dan sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh Elisa. 18 Namun Aku akan menyelamatkan tujuh ribu orang di Israel, iaitu mereka yang setia kepada-Ku dan belum pernah bersujud kepada Baal, ataupun menciumnya.” +
Elisa Dipilih oleh TUHAN
19 Apabila Elia meninggalkan tempat itu, dia bertemu dengan Elisa yang sedang membajak tanah. Ada sebelas pasang lembu di hadapan Elisa, dan Elisa sendiri membajak dengan pasangan lembu yang terbelakang, iaitu pasangan lembu yang kedua belas. Elia menanggalkan jubahnya dan menghamparkannya pada Elisa. 20 Kemudian Elisa meninggalkan lembu-lembunya, mengejar Elia dan berkata, “Benarkanlah saya berjumpa dengan ibu bapa saya dahulu untuk minta diri, lalu saya akan mengikut tuan.”
Elia menjawab, “Pulanglah, saya tidak melarang kamu!”o
21 Kemudian Elisa kembali untuk mengambil pasangan lembunya, dan menyembelihnya, lalu memasaknya. Dia menggunakan kayu bajak sebagai kayu api. Dia menghidangkan makanan itu kepada semua orang di situ dan mereka pun makan. Selepas itu Elisa mengikut Elia sebagai pembantunya.
+ 19:4 Yun 4.3 n 19:8 Sinai: Naskhah Ibrani: Horeb.* tempat Allah menyatakan diri. + 19:10 Rm 11.3 + 19:15 2 Raj 8.7-13 + 19:16 2 Raj 9.1-6 + 19:18 Rm 11.4 o 19:20 Pulanglah...kamu; atau Pulanglah, tetapi kembalilah kepada saya, kerana apa yang saya lakukan kepadamu sebentar tadi itu penting.