Raja Salomo Membina Rumah TUHAN
6
Selepas 480 tahun umat Israel meninggalkan Mesir, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo, pada bulan Ziv, iaitu bulan kedua, Raja Salomo mula membina Rumah TUHAN. Ukuran bahagian dalam Rumah TUHAN adalah seperti berikut: panjangnya 27 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 13.5 meter. Bilik di sebelah depan panjangnya 4.5 meter, dan lebarnya 9 meter, selebar Rumah itu juga. Tembok Rumah TUHAN mempunyai beberapa buah tingkap, yang ukuran sebelah luarnya lebih kecil daripada ukuran sebelah dalam. Pada tembok di sebelah luar, iaitu di sebelah kiri, kanan, dan belakang Rumah TUHAN, bilik-bilik yang bertingkat tiga dibina. Setiap tingkat tingginya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat bawah, lebarnya 2.2 meter. Setiap bilik di tingkat tengah, lebarnya 2.7 meter. Setiap bilik di tingkat atas, lebarnya 3.1 meter. Tembok Rumah TUHAN di tiap-tiap tingkat lebih tipis daripada tingkat di bawahnya, supaya kasau bilik-bilik tambahan itu dapat dihubungkan dengan tembok Rumah TUHAN tanpa melubangi tembok itu.
Batu-batu yang dipakai untuk membina Rumah TUHAN disediakan di kuari, sehingga tidak terdengar bunyi penukul, kapak, atau perkakas besi yang lain pada masa Rumah TUHAN dibina.
Pintu bagi tingkat pertama bilik tambahan itu dibuat di sebelah selatan Rumah TUHAN, dan tingkat-tingkat itu dihubungkan dengan tangga. Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. Dia menggunakan kasau-kasau dan papan daripada kayu sedar untuk siling Rumah TUHAN. 10 Bilik tambahan yang bertingkat tiga itu, yang tingginya 2.2 meter bagi setiap tingkat, dibina di sebelah luar tembok Rumah TUHAN dan dihubungkan dengan kasau-kasau daripada kayu sedar.
11 TUHAN berfirman kepada Raja Salomo, 12 “Jika engkau taat kepada semua hukum dan perintah-Ku, maka bagimu Aku akan lakukan apa yang telah Kujanjikan kepada Daud, bapamu. 13 Aku akan tinggal bersama dengan umat-Ku Israel di Rumah yang engkau bina ini, dan Aku tidak sekali-kali akan meninggalkan mereka.”
Perabot Rumah TUHAN
(2 Taw 3.8-14)
14 Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN. 15 Tembok di sebelah dalam Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar dari lantai sampai ke siling. Lantainya dibuat daripada kayu sipres. 16 Sebuah bilik yang dinamakan Bilik Maha Suci dibina di bahagian belakang Rumah TUHAN. Panjangnya 9 meter, dan disekat dari lantai sampai silingi dengan papan daripada kayu sedar. + 17 Bilik di hadapan Bilik Maha Suci itu panjangnya 18 meter. 18 Tembok bahagian dalam seluruh Rumah TUHAN dilapisi kayu sedar, sehingga batu-batu temboknya tidak kelihatan sama sekali. Lapisan itu dihiasi ukiran buah labu dan bunga mekar.
19 Di bahagian belakang Rumah TUHAN, sebuah bilik dibina untuk menyimpan Tabut Perjanjian TUHAN. 20 Bilik itu panjangnya 9 meter, lebarnya 9 meter, dan tingginya 9 meter; seluruhnya dilapisi emas tulen. Mazbah di hadapan bilik itu dilapisi papan daripada kayu sedar. 21 Bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas, dan rantai emas direntangkan pada pintu masuk bilik itu. Pintu ini juga dilapisi emas. 22 Seluruh bahagian dalam Rumah TUHAN dilapisi emas. Demikian juga mazbah di Bilik Maha Suci. +
23 Dua kerub yang dibuat daripada kayu zaitun diletakkan di Bilik Maha Suci. Setiap kerub tingginya 4.4 meter. 24-26 Kedua-duanya sama besar dan serupa. Setiap kerub mempunyai dua sayap, dan setiap sayap panjangnya 2.2 meter. Jarak antara kedua-dua hujung sayap itu 4.4 meter jauhnya. 27 Kedua-dua kerub itu diletakkan berdampingan di Bilik Maha Suci, supaya kedua-dua hujung sayapnya saling menyentuh di tengah-tengah bilik, dan hujung kedua-dua sayap yang satu lagi menyentuh dinding. 28 Kedua-dua kerub itu dilapisi emas. +
29 Seluruh dinding bahagian dalam Rumah TUHAN dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. 30 Seluruh lantai di dalam Rumah TUHAN dilapisi emas.
31 Pada pintu masuk Bilik Maha Suci itu dipasang dua daun pintu daripada kayu zaitun. Bahagian atas ambang pintu itu berbentuk lengkungan yang tajam. 32 Daun-daun pintunya dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Daun pintu, kerub, dan pokok palma semuanya dilapisi emas.
33 Bingkai pintu masuk ke bilik depan berbentuk segiempat bujur dan dibuat daripada kayu zaitun. 34 Ada dua lagi daun pintu yang dapat dilipat, yang dibuat daripada kayu sipres. 35 Daun-daun pintu itu dihiasi ukiran kerub, pokok palma, dan bunga mekar. Semuanya dilapisi emas.
36 Sebuah halaman dibina di depan Rumah TUHAN. Halaman ini dikelilingi tembok yang dibuat berlapis-lapis: satu lapis kayu sedar bagi tiap-tiap tiga lapis batu.
37 Asas Rumah TUHAN diletakkan pada bulan kedua, iaitu bulan Ziv, pada tahun keempat pemerintahan Raja Salomo. 38 Pada bulan kelapan, iaitu bulan Bul, pada tahun kesebelas pemerintahan Raja Salomo, pembinaan Rumah TUHAN selesai, tepat seperti yang telah dirancangkan. Pembinaan itu memakan masa tujuh tahun.
i 6:16 Sebuah terjemahan kuno: siling. Naskhah Ibrani: dinding. + 6:16 Kel 26.33-34 + 6:22 Kel 30.1-3 + 6:28 Kel 25.18-20