Kemerosotan Akhlak Israel
7
Tidak ada harapan lagi! Aku seperti orang lapar yang tidak menemui buah pada pokok ataupun buah anggur pada pokok anggur. Semua buah anggur dan buah ara yang sedap sudah habis dipetik. Tiada lagi orang jujur di dalam negeri; tiada lagi orang yang setia kepada Allah. Setiap orang menantikan peluangnya untuk membunuh. Setiap orang memburu sesama bangsanya. Mereka semua mahir melakukan kejahatan. Para pegawai dan hakim minta rasuah. Orang kenamaan memaksakan kemahuan mereka. Oleh itu mereka bersama-sama bersepakat untuk melakukannya. Bahkan orang yang terbaik dan paling jujur antara mereka pun seperti rumput yang tidak berguna.
Masanya sudah tiba apabila Allah akan menghukum umat ini, sebagaimana Dia memberikan amaran kepada mereka melalui para nabi yang bertugas sebagai penjaga. Keadaan mereka sekarang kacau-bilau. Jangan percaya kepada jiran atau sahabat kamu. Berhati-hati apabila bercakap, bahkan kepada isteri kamu. Pada zaman ini anak lelaki menghina bapa mereka; anak perempuan melawan ibu mereka. Menantu perempuan bergaduh dengan ibu mentua mereka. Musuh seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. +
Tetapi aku akan menantikan TUHAN; aku akan berharap kepada Allah yang akan menyelamatkan aku. Allahku akan mendengar doaku.
TUHAN Menyelamatkan Umat-Nya
Musuh kita tidak mempunyai alasan untuk bersukacita atas kejatuhan kita. Walaupun kita jatuh, tetapi kita akan bangkit semula. Sekarang kita berada dalam kegelapan, tetapi TUHAN akan menerangi kita. Kita telah berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu kita harus menanggung kemurkaan-Nya untuk sementara waktu. Tetapi akhirnya Dia akan membela kita dan memberikan keadilan kepada kita. Dia akan membawa kita keluar kepada cahaya, dan kita akan mengalami penyelamatan TUHAN. 10 Pada masa itu musuh kita akan melihat hal yang dilakukan TUHAN bagi kita, lalu mereka akan dipermalukan. Merekalah musuh yang mengolok-olok kita dahulu dengan berkata, “Di manakah TUHAN, Allah kamu?” Kita akan melihat mereka dikalahkan dan dipijak-pijak seperti lumpur di jalan.
11 Hai penduduk Yerusalem, masa untuk membina semula tembok-tembok kota telah tiba. Pada masa itu kawasan kamu akan diperluas. 12 Orang kamu akan pulang dari merata tempat - dari Asyur di timur, dari Mesir di selatan, dari kawasan Sungai Efrat, dari seberang laut, dan dari pergunungan yang jauh. 13 Tetapi bumi akan menjadi tandus kerana kejahatan penduduknya.
TUHAN Mengasihani Israel
14 Ya TUHAN, gembalakanlah umat-Mu, umat yang telah Engkau pilih. Walaupun mereka tinggal jauh di padang gurun, ada juga tanah yang subur di sekitar mereka. Biarlah mereka mendapat makanan di padang-padang rumput Basan dan Gilead, seperti yang dilakukan mereka dahulu kala.
15 Lakukanlah mukjizat-mukjizat bagi kami,l ya TUHAN, seperti yang Engkau lakukan dahulu, ketika Engkau membawa kami keluar dari Mesir. 16 Bangsa-bangsa akan nampak hal itu dan berasa malu kerana sedar bahawa kekuatan mereka tidak bererti apa-apa. Mereka akan menutup mulut dan telinga kerana tidak dapat melakukan apa-apa. 17 Mereka akan menjalar di atas debu seperti ular. Mereka akan keluar dari kubu mereka dengan gementar, lalu datang dengan takut kepada-Mu, TUHAN, Allah kami.
18 Ya TUHAN, tiada yang seperti Engkau. Engkau mengampunkan dosa umat-Mu yang masih hidup. Engkau tidak murka selama-lamanya, tetapi Engkau suka menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada kami. 19 Engkau akan mengasihani kami lagi. Engkau akan memijak-mijak dosa kami dan membuangnya ke dasar laut! 20 Engkau akan menunjukkan kesetiaan-Mu dan kasih-Mu yang abadi kepada umat-Mu, keturunan Abraham dan Yakub, seperti yang Engkau janjikan kepada nenek moyang kami dahulu kala.
+ 7:6 Mat 10.35-36; Luk 12.53 l 7:15 Dapat bermakna: Lakukanlah mukjizat-mukjizat bagi kami; Naskhah Ibrani: Aku akan melakukan mukjizat-mukjizat bagi dia.