SURAT PAULUS
KEPADA
FILEMON
Kata Pengantar
Filemon seorang Kristian terkemuka yang mungkin anggota jemaah di Kolose. Dia memiliki seorang abdi yang bernama Onesimus. Abdi ini melarikan diri daripada tuannya, lalu entah bagaimana telah berkenalan dengan Paulus, yang pada waktu itu di penjara. Dengan bimbingan Paulus, Onesimus menjadi pengikut Kristus.
Surat Paulus kepada Filemon memohon supaya Filemon berdamai dengan abdinya, yang ketika itu disuruh pulang oleh Paulus. Paulus meminta Filemon menyambut Onesimus, bukan sahaja sebagai abdi yang sudah diampuni, tetapi juga sebagai seorang saudara Kristian.
Kandungan
Pendahuluan 1-3
Kasih dan Iman Filemon 4-7
Permintaan untuk Onesimus 8-22
Penutup 23-25
1
Surat ini daripada Paulus, yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius.
Surat ini ditujukan kepada Filemon, sahabat dan rakan kami, dan kepada jemaah yang berkumpul di rumahmu, serta kepada saudara kita Apfia, dan rakan seperjuangan kita Arkhipus. +
Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Kasih dan Iman Filemon
Saudaraku Filemon, setiap kali aku berdoa, aku menyebut namamu dan bersyukur kepada Allahku. Aku berbuat demikian kerana aku diberitahukan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah, dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus. Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang percaya kepada Kristus, akan mendatangkan pengertian yang lebih mendalam tentang setiap berkat yang kita miliki kerana hidup bersatu dengan Kristus. Saudaraku Filemon, kasihmu bagi umat Allah sudah menggembirakan dan menggalakkan aku! Kamu menggembirakan hati semua umat Allah.
Permintaan untuk Onesimus
Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan. Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan. Aku berbuat demikian, meskipun aku ini duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia.a 10 Aku mengajukan suatu permintaan bagi pihak Onesimus, yang aku anggap seperti anak sendiri, kerana dia juga percaya kepada Kristus. Semasa di penjara, aku menjadi seperti bapa kepadanya. + 11 Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia bergunab bukan sahaja bagimu, tetapi bagiku juga.
12 Aku menghantar dia kembali kepadamu, dia yang sangat aku kasihi. 13 Sebenarnya aku ingin dia tetap di sini bersama-sama aku untuk membantu aku bagi pihakmu, selama aku dipenjarakan kerana mengisytiharkan Berita Baik. 14 Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju.
15 Mungkin Onesimus berpisah daripada kamu untuk sementara, supaya kamu boleh mendapatnya kembali untuk seterusnya. 16 Sekarang dia bukan sahaja abdi, tetapi lebih daripada itu. Dia saudara Kristian yang dikasihi. Dia sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan!
17 Oleh itu, jika kamu menganggap aku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambut aku. 18 Jika dia sudah bersalah atau berhutang kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. 19 Lihatlah, kata-kata berikut aku tulis sendiri: Aku, Paulus akan melunasi semuanya. (Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku kehidupanmu sebagai orang Kristian.) 20 Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakanlah hatiku sebagai sesama saudara yang percaya kepada Kristus.
21 Semasa menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan mengabulkan permintaanku. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu akan melakukan hal yang lebih daripada permintaanku. 22 Sementara itu, tolong sediakan bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua dan membolehkan aku kembali kepada kamu.
Salam Terakhir
23 Epafras, yang dipenjarakan bersama-sama aku kerana Kristus Yesus, mengirim salam kepada kamu. + 24 Terimalah juga salam rakan-rakan sekerjaku: Markus, Aristarkhus, Demas, dan Lukas. +
25 Aku berdoa semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua.
+ 1:2 Kol 4.17 a 1:9 duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia; atau seorang tua, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Kristus Yesus. + 1:10 Kol 4.9 b 1:11 Dalam bahasa Yunani, nama Onesimus bererti ‘berguna’. + 1:23 Kol 1.7, 4.12 + 1:24 Kis 12.12, 25, 13.13, 15.37-39, 19.29, 27.2; Kol 4.10, 14; 2 Tim 4.10, 11