SURAT PAULUS
KEPADA JEMAAH DI
FILIPI
Kata Pengantar
Jemaah di Filipi adalah kumpulan jemaah pertama yang dimulakan oleh Paulus di Eropah. Filipi terletak di negeri Makedonia, sebuah wilayah Empayar Roma. Surat Paulus kepada jemaah di Filipi ditulis ketika Paulus di penjara. Hatinya risau kerana ada pekerja-pekerja Kristian yang menentang dia. Ada juga orang yang mengajarkan ajaran yang menyesatkan jemaah di Filipi. Namun demikian surat Paulus ini menyatakan perasaan sukacita dan keyakinan kepada jemaah di situ, kerana Paulus sangat percaya kepada Yesus Kristus.
Tujuan utama Paulus menulis surat ini adalah untuk mengucapkan terima kasih kepada jemaah di Filipi kerana bantuan mereka ketika Paulus dalam kesusahan. Paulus menggunakan peluang itu untuk menggalakkan mereka supaya berani dan tabah ketika menghadapi kesusahan. Dia merayu kepada jemaah itu supaya bersikap rendah hati seperti Yesus, serta tidak dipengaruhi perasaan sombong dan mementingkan diri sendiri. Dia mengingatkan mereka bahawa dengan rahmat Allah, mereka hidup bersatu dengan Kristus kerana mereka percaya kepada-Nya, dan bukan kerana mentaati adat istiadat hukum agama Yahudi. Paulus juga menulis tentang kegembiraan dan kesejahteraan yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang hidup bersatu dengan Kristus.
Surat ini menitikberatkan hal kegembiraan, keteguhan hati, kesatuan, dan ketabahan orang Kristian dalam kehidupan mereka sebagai pengikut Yesus. Surat ini juga menunjukkan betapa besarnya kasih Paulus kepada jemaah di Filipi.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-11
Keadaan Peribadi Paulus 1.12-26
Kehidupan Orang Kristian 1.27—2.18
Rancangan untuk Timotius dan Epafroditus 2.19-30
Amaran tentang Musuh di Luar dan di Dalam Jemaah 3.1—4.9
Paulus dan Sahabat-sahabatnya di Filipi 4.10-20
Penutup 4.21-23
1
Surat daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, dan surat ini ditujukan kepada umat Allah di Filipi yang bersatu dengan Kristus, termasuk para pemimpin dan penolong jemaah. +
Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Doa Paulus untuk Jemaah di Filipi
Setiap kali aku teringat akan kamu, aku bersyukur kepada Allah. Setiap kali aku berdoa untuk kamu, aku berdoa dengan sukacita. Aku bersukacita kerana kamu telah menolong aku sehingga dapat mengkhabarkan Berita Baik itu, sejak hari pertama sehingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali. Aku sentiasa mengingati kamu dengan sukacita. Memang aku patut mempunyai perasaan seperti itu terhadap kamu, kerana kamu semua sudah memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas khas yang diberikan oleh Allah kepadaku. Kamu melakukannya baik sekarang semasa aku dipenjarakan, mahupun dahulu sewaktu aku bebas membela dan mempertahankan Berita Baik itu. Allah tahu bahawa apa yang aku katakan ini benar. Aku mengasihi kamu dengan kasih yang berasal daripada Kristus Yesus.
Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna. 10 Dengan demikian kamu dapat memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kamu bebas daripada segala celaan dan tuduhan. 11 Hidup kamu akan penuh dengan perbuatan yang benar-benar baik,a kerana Yesus Kristus sahaja yang dapat menyebabkan kamu berbuat demikian. Oleh itu Allah akan dimuliakan dan dipuji.
Hidup untuk Kristus
12 Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. 13 Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. + 14 Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itub tanpa berasa takut.
15 Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. 16 Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. 17 Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara.
18 Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, 19 kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. 20 Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. 21 Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. 22 Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. 23 Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. 24 Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. 25 Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. 26 Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.
27 Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. 28 Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. 29 Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. 30 Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang. +
+ 1:1 Kis 16.12 a 1:11 perbuatan yang benar-benar baik; Harfiah: buah kebenaran. + 1:13 Kis 28.30 b 1:14 berita itu; Beberapa naskhah kuno: berita daripada Allah. + 1:30 Kis 16.19-40