AMSAL
Kata Pengantar
Kitab Amsal adalah kumpulan ajaran moral dan agama yang diungkapkan dalam bentuk pepatah dan peribahasa. Kebanyakannya berkenaan dengan perkara yang timbul dalam kehidupan sehari-hari. Kitab ini bermula dengan peringatan bahawa “Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN.” Selanjutnya, kitab ini meliputi hal-hal yang bukan sahaja berkenaan dengan ajaran moral dari segi agama, tetapi juga perkara yang berkenaan dengan akal budi dan sopan-santun. Kitab ini mengandungi banyak peribahasa yang menunjukkan pengertian guru-guru Israel pada zaman dahulu tentang tindakan orang bijaksana dalam keadaan tertentu. Ada yang berkenaan dengan perhubungan antara keluarga, urusan perniagaan, tatatertib dalam pergaulan, dan perlunya menguasai diri. Kitab ini banyak juga menyentuh sifat-sifat seperti rendah hati, sabar, menghargai orang miskin, dan setia kepada sahabat.
Kandungan
Menyanjung Kebijaksanaan 1.1—9.18
Peribahasa Raja Salomo 10.1—29.27
Kata-Kata Agur 30.1-33
Nasihat kepada Raja 31.1-9
Pujian kepada Isteri yang Berbudi 31.10-31
Nilai Amsal
1
Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud. +
Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya. Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah. Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana. Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar. Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana.
Nasihat kepada Orang Muda
Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN.a Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar. +
Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu.
10 Anakku, jika kamu digoda oleh orang berdosa, jangan ikut pujukan mereka. 11 Seandainya mereka berkata, “Marilah kita mencari orang dan membunuh mereka. Marilah kita menyerang orang yang tidak bersalah sekadar untuk bersuka-suka! 12 Sekarang mereka hidup dan sihat, tetapi mereka akan mati apabila kita sudah mengerjakan mereka. 13 Kita akan mendapat dan mengambil segala jenis kekayaan mereka, lalu memenuhi rumah kita dengan barang rampasan! 14 Marilah ikut kami, kita akan berkongsi hasil curian kita!”
15 Anakku, jangan ikut orang yang demikian. Jauhkan dirimu daripada mereka. 16 Mereka tidak sabar lagi untuk melakukan kejahatan. Mereka ingin cepat-cepat membunuh orang. 17 Tiada gunanya memasang jerat di depan mata burung yang hendak ditangkap, 18 tetapi orang jahat seperti itu memasang perangkap bagi diri mereka - perangkap yang akan membinasakan mereka. 19 Orang yang mencari nafkah dengan keganasan akan membayarnya dengan nyawanya sendiri.
Suara Hikmat
20 Dengarlah! Hikmat sedang berseru di jalan raya dan di pasar, 21 memanggil orang dengan suara yang lantang di pintu gerbang dan di mana-mana sahaja orang berkumpul: +
22 “Hai orang bodoh! Berapa lama lagi kamu hendak menjadi bodoh? Berapa lama lagi kamu akan mengolok-olokkan pengetahuan? Bilakah kamu mahu belajar? 23 Dengarlah apabila aku menegur ajar kamu. Aku akan menasihatkan kamu, dan membahagikan pengetahuanku kepada kamu. 24 Aku memanggil dan menjemput kamu datang tetapi kamu tidak mahu mendengar. Kamu tidak mempedulikan aku. 25 Kamu mengabaikan semua nasihatku dan tidak mahu menerima tegur ajarku. 26 Oleh itu, apabila kamu susah kelak, aku akan mentertawakan kamu. Aku akan mengejek kamu apabila kamu ditimpa kengerian. 27 Kengerian itu akan datang seperti angin ribut yang membawa bencana, dan kamu akan kesakitan dan menderita. 28 Pada waktu itu kamu akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Kamu akan mencari aku di merata-rata tempat, tetapi tidak akan menjumpai aku. 29 Kamu membenci pengetahuan dan tidak mahu taat kepada TUHAN. 30 Kamu tidak pernah mahu menerima nasihatku atau mempedulikan tegur ajarku. 31 Oleh itu, kamu akan menerima nasib yang setimpal dengan kelakuan kamu, dan kamu akan merasai akibat perbuatan kamu. 32 Orang yang kurang pengalaman, mati kerana menolak hikmat. Orang bodoh binasa kerana mengabaikan hikmat. 33 Tetapi sesiapa yang mendengarkan aku akan selamat. Dia hidup dengan aman dan tidak perlu takut.”
+ 1:1 1 Raj 4.32 a 1:7 Untuk...TUHAN; atau Pengetahuan yang paling utama adalah hormat dan takut kepada TUHAN. + 1:7 Ayb 28.28; Mzm 111.10; Ams 9.10 + 1:21 Ams 8.1-3