Kata-Kata Hikmat Raja Salomo
10
1 Inilah kata-kata hikmat Raja Salomo:
Anak yang bijaksana menjadi kebanggaan bapanya; anak yang bodoh menyedihkan ibunya.
2 Kekayaan yang diperoleh dengan curang tidak membawa kebaikan, tetapi kejujuran menyelamatkan nyawa.
3 TUHAN tidak akan membiarkan orang baik kelaparan, tetapi Dia menghalang orang jahat mencapai hasrat mereka.
4 Orang malas akan jatuh miskin, tetapi orang rajin akan menjadi kaya.
5 Orang bijak mengumpulkan hasil pada musim menuai; orang yang tidur pada waktu itu mendatangkan malu.
6 Orang baik akan menerima berkat. Orang jahat menyembunyikan kekejaman di balik kata-kata mereka.
7 Orang baik akan sentiasa dikenang, sedangkan orang jahat akan segera dilupakan.
8 Orang bijak suka menerima nasihat. Orang yang merepek akan binasa.
9 Orang jujur akan hidup aman, tetapi orang yang menipu akhirnya akan ketahuan.
10 Orang yang menyembunyikan kebenaran menimbulkan kesusahan, tetapi orang yang menegur ajar dengan terus-terang mendatangkan kesejahteraan.
11 Kata-kata orang baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi di balik kata-kata orang jahat tersembunyi kekejaman.
12 Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan.
13 Orang cerdik mengucapkan kata-kata bijak, tetapi orang bodoh perlu dihukum.
14 Orang bijak mengumpulkan ilmu, tetapi orang bodoh menimbulkan kekacauan dengan repekan mereka.
15 Kekayaan melindungi orang kaya, tetapi kemiskinan membinasakan orang miskin.
16 Perbuatan baik mendatangkan hidup bahagia, tetapi dosa hanya mengakibatkan lebih banyak dosa.
17 Orang yang menerima teguran akan hidup sejahtera, tetapi orang yang tidak mahu mengakui kesalahannya berada dalam bahaya.
18 Orang yang menyembunyikan kebenciannya ialah pendusta. Orang yang mengumpat ialah orang bebal.
19 Semakin banyak bercakap, semakin besar kemungkinan berdosa. Orang bijak berhati-hati dengan kata-kata mereka.
20 Perkataan orang baik bagaikan perak murni, tetapi buah fikiran orang jahat tidak bererti.
21 Perkataan orang baik merupakan berkat bagi banyak orang, tetapi orang bodoh mati kerana kebodohan mereka.
22 Berkat TUHAN sahajalah yang menjadikan orang kaya. Kerja keras tidak akan menambah kekayaan.
23 Orang bodoh menyukai perbuatan salah; orang bijak menyukai hikmat.
24 Orang baik mendapat keinginan mereka, tetapi orang jahat mendapat apa yang paling ditakuti mereka.
25 Orang jahat lenyap apabila ribut melanda, tetapi orang jujur tetap selamat.
26 Jangan suruh orang malas kerana mereka menyusahkan sahaja seperti gigi ngilu kena cuka atau mata pedih kena asap.
27 Orang yang takut dan hormat kepada TUHAN akan hidup lama; orang jahat akan mati sebelum saatnya.
28 Harapan orang baik menjadikan mereka bahagia, tetapi harapan orang jahat kosong belaka.
29 TUHAN melindungi orang jujur, tetapi Dia membinasakan orang jahat.
30 Orang baik akan tetap hidup selamat, tetapi orang jahat akan kehilangan tanah pusaka.
31 Orang jujur akan berucap dengan bijak, tetapi mulut pendusta akan dibungkamkan.
32 Kata-kata orang baik menyenangkan hati, tetapi kata-kata orang jahat sentiasa menyakitkan hati.