12
1 Orang yang mencintai pengetahuan suka ditegur ajar. Orang yang tidak mahu ditegur ajar itu bodoh.
2 TUHAN berkenan kepada orang baik, tetapi Dia menghukum orang yang merancang kejahatan.
3 Orang tidak akan mendapat keselamatan daripada kejahatan, tetapi orang jujur tetap teguh.
4 Isteri yang baik menjadi kebanggaan dan kebahagiaan suaminya, tetapi isteri yang memalukan suaminya bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.
5 Orang jujur memikirkan hal-hal yang baik, tetapi nasihat orang jahat penuh tipu muslihat.
6 Kata-kata orang jahat dapat membunuh, tetapi kata-kata orang jujur menyelamatkan.
7 Orang jahat akan binasa tanpa meninggalkan keturunan, tetapi orang baik sentiasa mempunyai keturunan.
8 Orang bijak menerima penghargaan; orang bodoh menerima penghinaan.
9 Lebih baik menjadi orang biasa yang mempunyai mata pencarian, daripada berlagak sebagai orang besar tetapi kelaparan.
10 Orang baik memelihara ternakan mereka, tetapi orang jahat menyeksa ternakan mereka.
11 Peladang yang rajin mendapat banyak makanan, tetapi orang yang mengejar hal yang sia-sia itu bodoh.
12 Orang jahat menghendaki kejahatan semata-mata, tetapi orang baik bagaikan pokok yang teguh dan berbuah.
13 Orang jahat dijerat oleh kata-kata mereka sendiri, tetapi orang baik menyelamatkan diri daripada kesukaran.
14 Balasan seseorang bergantung kepada perkataan dan perbuatannya sendiri; dia akan mendapat balasan yang setimpal.
15 Orang bodoh selalu menganggap diri mereka betul, sedangkan orang bijak mendengarkan nasihat.
16 Orang bodoh lekas marah apabila tersinggung, tetapi orang bijak tidak menghiraukan nistaan.
17 Bercakap benar menegakkan keadilan, sedangkan membohong mengakibatkan ketidakadilan.
18 Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang, tetapi ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.
19 Dusta tidak tahan lama, tetapi kebenaran kekal selama-lamanya.
20 Orang yang merancang kejahatan penuh dengan tipu daya; orang yang mengamalkan kebajikan akan berbahagia.
21 Orang baik tidak akan ditimpa bencana, tetapi orang jahat selalu ditimpa kesusahan.
22 TUHAN membenci pendusta, tetapi Dia berkenan kepada orang yang menepati janji.
23 Orang bijak tidak menunjukkan pengetahuan mereka, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka.
24 Kerajinan menjadikan orang berkuasa, tetapi kemalasan menyebabkan orang menjadi hamba.
25 Kekhuatiran menyebabkan orang berdukacita, tetapi kata-kata yang baik menghiburkan hati.
26 Orang baik memimpin sahabatnya, sedangkan orang jahat menyesatkan orang.
27 Orang malas tidak sekali-kali akan mencapai hasrat mereka, tetapi orang rajin memperoleh harta yang banyak.
28 Orang yang mengikut jalan yang benar akan hidup bahagia; orang yang mengikut jalan yang jahat menuju maut.