18
Orang yang menyingkirkan diri daripada orang lain hanya mementingkan diri sendiri; mereka membantah segala pendapat yang baik daripada orang lain.
Orang yang bodoh tidak peduli sama ada dia faham atau tidak. Dia hanya ingin mengatakan pendapat sendiri.
Dosa dan hinaan sentiasa berdampingan; orang yang tercela akan dipermalukan.
Perkataan orang boleh merupakan sumber hikmat, yang dalam seperti laut dan segar seperti air yang mengalir.
Tidak baik memihak orang yang jahat, dan menindas orang yang tidak bersalah.
Jika orang bodoh menimbulkan pertengkaran, mereka minta dipukul.
Apabila orang bodoh bercakap mereka terjerat oleh kata-kata mereka dan membinasakan diri.
Umpatan sangat enak rasanya; orang suka menelannya.
Orang malas sama jahatnya dengan orang yang suka merosak.
10 TUHAN seperti menara yang kukuh; ke sanalah orang jujur pergi dan mendapat perlindungan. 11 Tetapi orang kaya menyangka bahawa harta yang melindungi mereka seperti tembok tinggi dan kuat di sekeliling kota.
12 Orang yang rendah hati akan dihormati; orang sombong pasti akan binasa.
13 Orang yang menjawab sebelum mendengar, bukan sahaja bodoh tetapi mempermalu diri sendiri.
14 Kemahuan untuk hidup dapat menanggung derita penyakit tetapi jika lenyap kemahuan itu, hilanglah segala harapan.
15 Orang bijak sentiasa sedia dan suka belajar.
16 Hadiah membuka jalan sehingga mudah untuk menemui orang besar.
17 Orang yang pertama berucap di mahkamah selalu nampaknya benar, tetapi kenyataannya akan diuji setelah perkaranya diperiksa.
18 Jika terjadi pertikaian di mahkamah antara dua orang yang berkuasa, buanglah undi untuk menyelesaikannya.
19 Tolong-menolong menguatkan persaudaraan seperti tembok kota yang kukuh, tetapi pertengkaran memutuskan perhubungan.
20 Kata-kata yang diucapkan membawa kesan yang harus dirasakan. 21 Kata-kata yang diucapkan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan. Orang harus merasakan kesan kata-kata mereka.
22 Orang yang mendapat isteri, mendapat sesuatu yang baik. Hal ini bermakna TUHAN memperkenan orang itu.
23 Orang miskin memohon dengan sopan, tetapi orang kaya menjawab dengan kasar.
24 Ada sahabat yang tidak setia, ada pula yang lebih karib daripada saudara kandung.