12
Doa Minta Tolong
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud.
2 Tolonglah kami, ya TUHAN,
kerana tidak ada lagi orang yang baik;
orang yang jujur tidak dapat dijumpai lagi.
3 Semua manusia saling membohongi,
dan saling menipu dengan kata-kata manis.
4 Hentikanlah kata-kata manis itu, ya TUHAN,
dan bungkamkan mulut yang bercakap besar,
5 “Kami berkuasa dengan mulut kami.
Kami akan bercakap sesuka hati;
tidak sesiapa dapat menghalang kami.”
6 TUHAN berfirman, “Orang miskin ditindas,
dan orang yang dianiaya mengerang.
Maka sekarang juga Aku datang
memberikan ketenteraman yang diingini mereka.”
7 Janji TUHAN teguh dan dapat dipercayai;
seperti perak yang dimurnikan berkali-kali di dalam api.
8-9 Orang jahat terdapat di merata-rata tempat,
dan setiap orang menyanjung kejahatan.
Selamatkanlah kami, ya TUHAN,
peliharakanlah kami daripada orang seperti itu.