144
Raja Bersyukur kepada TUHAN
Mazmur Daud.
Pujilah TUHAN, pelindungku!
Dia melatih aku untuk bertempur,
dan mempersiapkan aku untuk berperang.
Dialah pelindungku dan pembelaku,
tempat aku bernaung dan penyelamatku;
aku bergantung kepada-Nya supaya aku selamat.
Dia menaklukkan bangsa-bangsa ke bawah kuasaku.
Ya TUHAN,
apakah manusia sehingga Engkau memperhatikan dia?
Dia manusia biasa, namun Engkau mengendahkan dia! +
Manusia bagaikan hembusan nafas,
dan hidupnya berlalu seperti bayangan.
Ya TUHAN, bukalah langit dan turunlah;
sentuhlah gunung-gunung supaya berasap.
Pancarkanlah kilat dan cerai-beraikanlah musuh-Mu;
lepaskanlah anak panah-Mu supaya musuh lari.
Hulurkanlah tangan-Mu dari syurga,
dan selamatkanlah aku dari air yang dalam;
selamatkanlah aku daripada kuasa orang asing,
yang selalu berdusta dan menipu,
dan mengangkat sumpah palsu.
Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, ya Allah;
aku akan memainkan kecapi dan menyanyi untuk-Mu.
10 Engkau memberikan kemenangan kepada raja-raja,
dan menyelamatkan hamba-Mu, Daud.
11 Selamatkanlah aku daripada pedang orang kejam,
dan lepaskanlah aku daripada kuasa orang asing,
yang selalu berdusta dan menipu,
dan mengangkat sumpah palsu.
12 Semoga anak-anak lelaki kita yang masih muda
menjadi seperti tumbuh-tumbuhan yang membesar.
Semoga anak-anak perempuan kita menjadi seperti tiang cantik
yang menyangga sudut-sudut istana.
13 Semoga gudang kita dipenuhi
pelbagai hasil bumi.
Semoga domba di ladang kita
beranak sampai berpuluh-puluh ribu banyaknya.
14 Semoga lembu kita pun membiak,
tanpa ada yang hilang ataupun keguguran.
Semoga tiada tangisan kesengsaraan
yang kedengaran di jalan-jalan kota kita.
15 Berbahagialah bangsa yang sedemikian,
berbahagialah umat yang Allah mereka TUHAN!
+ 144:3 Ayb 7.17-18; Mzm 8.4