62
Keyakinan akan Perlindungan Allah
1 Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Daud.
2 Dengan tenang aku menantikan Allah;
Dia sahaja yang menyelamatkan aku.
3 Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku;
Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
4 Sampai bilakah kamu semua akan menyerang seorang
yang lemah seperti pagar yang hampir roboh,
dan seperti dinding yang miring?
5 Kamu hanya ingin menjatuhkan dia dari tempat kehormatannya;
kamu suka berdusta.
Dengan mulut, kamu memberkati,
tetapi kamu mengutuk dalam hati.
6 Dengan tenang aku menantikan Allah;
Dia sahaja yang memberi aku harapan.
7 Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku;
Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
8 Penyelamatanku dan kehormatanku bergantung kepada Allah;
Dialah pelindungku yang kuat;
Dialah tempat perlindunganku.
9 Hai bangsaku, percayalah kepada Allah setiap masa.
Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya,
kerana Dialah penaung kita.
10 Manusia hanya seperti hembusan nafas;
besar atau kecil sama-sama tidak berharga.
Kalau ditimbang, mereka ternyata ringan,
lebih ringan daripada sehembus nafas.
11 Jangan bergantung kepada hasil pemerasan;
jangan harapkan keuntungan daripada rompakan;
walaupan kekayaan kamu bertambah,
jangan bergantung kepadanya.
12 Beberapa kali aku telah mendengar Allah berfirman
bahawa kuasa berasal daripada-Nya,
13 dan bahawa kasih-Nya kekal.
Engkau, ya Tuhan, membalas semua orang menurut perbuatan mereka.