79
Doa bagi Pembebasan Bangsa
1 Mazmur Asaf.
Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau
telah menyerang tanah-Mu.
Mereka telah menajiskan
Rumah-Mu yang suci
dan meruntuhkan Yerusalem.
2 Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai.
Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar.
3 Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air;
darah mengalir di seluruh Yerusalem,
dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati.
4 Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami;
mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami.
5 Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami?
Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api?
6 Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau;
orang yang tidak berdoa kepada-Mu,
7 kerana mereka telah membunuh umat-Mu
dan merosakkan negeri-Mu.
8 Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami,
tetapi kasihanilah kami sekarang
kerana kami putus asa.
9 Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami;
demi kehormatan-Mu sendiri,
selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami.
10 Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya,
“Di manakah Allah kamu?”
Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami
kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu.
11 Dengarlah rintihan orang tawanan,
dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati.
12 Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda,
bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu.
13 Lalu kami, umat-Mu,
domba-domba-Mu,
akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya,
dan memuji-Mu sampai turun-temurun.