95
Lagu Pujian
1 Marilah kita memuji TUHAN,
dan bernyanyi dengan gembira kepada Allah, pelindung dan penyelamat kita!
2 Marilah kita menghadap Dia dengan kesyukuran,
dan dengan gembira menyanyikan lagu pujian.
3 TUHAN itu Allah yang berkuasa,
raja perkasa yang menguasai semua dewa.
4 Dia memerintah seluruh bumi,
gua yang terdalam dan juga gunung yang tertinggi.
5 Dia menguasai laut yang dicipta-Nya,
dan juga darat yang dibentuk-Nya.
6 Marilah kita bersujud dan menyembah Dia;
marilah kita berlutut di hadapan TUHAN, pencipta kita!
7 Dialah Allah kita;
kitalah umat yang dipelihara-Nya,
seperti kawanan domba yang digembalakan-Nya.
Pada hari ini dengarlah firman-Nya,
8 “Jangan degil seperti nenek moyang kamu di Meriba,
ketika mereka berada di gurun, di Masa.
9 Di sana mereka menguji dan mencuba Aku,
sungguhpun mereka sudah melihat perbuatan-Ku.
10 Selama empat puluh tahun Aku muak terhadap mereka;
Aku berfirman, ‘Alangkah derhakanya mereka!
Mereka enggan taat kepada perintah-Ku.’
11 Aku murka lalu bersumpah
bahawa mereka tidak sekali-kali akan masuk ke negeri itu,
tempat Aku memberi mereka rehat.”