Tabut Perjanjian Dipindahkan dari Kiryat-Yearim
(2 Sam 6.1-11)
13
1 Raja Daud berunding dengan semua pegawainya yang mengetuai pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang.
2 Selepas itu baginda mengumumkan hal ini kepada semua orang itu, “Jika kamu setuju, dan jika kehendak TUHAN, Allah kita, baiklah kita mengirim utusan-utusan kepada para imam serta orang Lewi di kota-kota mereka, dan kepada segenap bangsa kita. Para utusan itu akan menyuruh mereka datang berkumpul bersama-sama kita di sini.
3 Kemudian kita akan pergi mengambil Tabut Perjanjian Allah, yang telah diabaikan selama pemerintahan Raja Saul.”
4 Semua orang Israel yang berkumpul suka dengan cadangan itu, lalu mereka menyetujuinya.
5 Oleh itu Raja Daud mengumpulkan rakyat Israel dari seluruh negeri, dari sempadan negeri Mesir di selatan sampai ke Genting Hamat di utara, untuk mengambil Tabut Perjanjian dari Kiryat-Yearim dan memindahkannya ke Yerusalem.
6 Kemudian Raja Daud dan segenap rakyat Israel pergi ke kota Baala, iaitu Kiryat-Yearim, di kawasan Yehuda untuk mengambil Tabut Perjanjian Allah. Tabut itu dinamakan “TUHAN yang bertakhta di atas kerub”.
7 Apabila mereka tiba di Baala, mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab, lalu menaikkannya ke atas sebuah pedati yang baru. Uza dan Ahyo mengiringi pedati itu,
8 sedangkan Raja Daud dan segenap umat Israel menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati Allah. Mereka menyanyi sambil memainkan alat-alat muzik - kecapi, gambus, tamburin, simbal, dan trompet.
9 Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Kidon, lembu-lembu yang menarik pedati itu tersandung. Lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian itu supaya tidak jatuh.
10 Ketika itu juga TUHAN murka terhadap Uza dan membunuh dia, kerana dia memegang Tabut. Uza meninggal di situ, di hadapan Allah.
11 Sejak itu, tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza.
12 Kemudian Raja Daud takut juga kepada Allah dan bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?”
13 Oleh itu Raja Daud tidak membawa Tabut itu ke Yerusalem. Baginda menyimpan Tabut itu di rumah Obed-Edom, seorang yang berasal dari kota Gat.
14 Tabut itu berada di situ selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati keluarga Obed-Edom serta segala miliknya.