Raja Yosia, Raja Yehuda
(2 Raj 22.1-2)
34
1 Raja Yosia berumur lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun.
2 Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyangnya Raja Daud, dan mentaati seluruh hukum Allah dengan sepenuhnya.
Raja Yosia Membanteras Penyembahan Berhala
3 Pada tahun kelapan pemerintahan Raja Yosia, ketika baginda masih muda, baginda mula menyembah Allah yang disembah nenek moyangnya, Raja Daud. Empat tahun kemudian, Raja Yosia mula memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, lambang-lambang Dewi Asyera, dan semua berhala lain.
4 Dengan arahan Raja Yosia, anak buahnya merobohkan mazbah-mazbah Baal dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan yang terdapat di situ. Mereka menghancurkan patung-patung Dewi Asyera dan semua berhala lain, lalu menghamburkan debunya di atas kubur-kubur orang yang menyembah berhala-berhala itu.
5 Kemudian di atas mazbah itu Raja Yosia membakar tulang imam-imam yang menyembah berhala-berhala itu. Dengan demikian baginda menjadikan Yehuda dan Yerusalem suci semula.
6 Hal yang sama dilakukan baginda di kota-kota dan di tempat yang musnah di wilayah Manasye, Efraim, dan Simeon, sampai ke wilayah Naftali di utara.
7 Di seluruh kawasan Kerajaan Utara, Raja Yosia merobohkan dan menghancurkan mazbah-mazbah dan lambang-lambang Dewi Asyera, serta mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Selepas itu baginda pulang ke Yerusalem.
Kitab Taurat Ditemui Semula
(2 Raj 22.3-20)
8 Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, selepas baginda menyucikan negeri itu dan Rumah TUHAN dengan menghentikan segala penyembahan berhala, baginda menyuruh tiga orang pegawainya untuk membaiki Rumah TUHAN Allah. Para pegawai itu ialah Safan anak Azalya, Manasye gabenor Yerusalem, dan Yoah anak Yoahas, seorang pegawai tinggi.
9 Wang yang telah dikumpul oleh orang Lewi di Rumah TUHAN, diserahkan kepada Imam Agung Hilkia. Wang itu diterima daripada penduduk Efraim, Manasye, dan bahagian lain di Kerajaan Utara, dan juga daripada penduduk Yehuda, Benyamin, dan Yerusalem.
10 Wang itu diberikan kepada tiga orang yang telah ditugaskan untuk mengawasi pembaikan Rumah TUHAN. Kemudian mereka memberikan wang itu
11 kepada tukang kayu dan pekerja-pekerja yang harus membeli batu dan kayu, untuk membaiki bangunan-bangunan yang telah dibiarkan rosak oleh raja-raja Yehuda.
12 Semua pekerja itu sangat jujur. Mereka diawasi oleh empat orang Lewi, iaitu Yahat dan Obaja daripada puak Merari, dan Zakharia serta Mesulam daripada puak Kehat. Orang Lewi semuanya pemuzik yang mahir.
13 Orang Lewi yang lain bertanggungjawab atas pengangkutan bahan-bahan binaan dan mengawasi tukang-tukang yang melakukan berbagai-bagai pekerjaan. Orang Lewi yang lain pula bertugas dalam pentadbiran, atau sebagai pengawal.
14 Pada masa mereka mengeluarkan wang yang telah dikumpulkan di Rumah TUHAN, Hilkia menemui kitab Taurat TUHAN, Taurat yang diberikan Allah kepada Musa.
15 Hilkia berkata kepada Safan, “Saya telah menemui kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN.” Lalu dia memberikan kitab itu kepada Safan,
16 dan Safan pun membawa kitab itu kepada raja dan berkata, “Hamba sekalian telah melakukan segala perintah tuanku.
17 Hamba sekalian telah mengambil wang yang di simpan di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada para pekerja dan pengawas-pengawas mereka.”
18 Kemudian Safan berkata lagi, “Inilah kitab yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Safan membacakan kandungan kitab itu kepada raja.
19 Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita.
20 Raja bertitah kepada Hilkia, Ahikam anak Safan, Abdon anak Mikha, Safan setiausaha negeri, dan Asaya hamba raja,
21 “Pergilah minta nasihat TUHAN bagi beta dan bagi segenap rakyat yang masih berada di Israel dan Yehuda, tentang ajaran kitab ini. TUHAN murka terhadap kita kerana nenek moyang kita tidak taat kepada firman TUHAN dan tidak melakukan apa yang tercatat di dalam kitab ini.”
22 Atas perintah raja itu, Hilkia dengan orang lain yang diutus oleh raja, pergi meminta nasihat daripada seorang perempuan bernama Hulda. Dia seorang nabi perempuan yang tinggal di perkampungan baru di Yerusalem. Suaminya, Salum anak Tikwa, cucu Harhas, ialah pengurus pakaian di Rumah TUHAN. Mereka menceritakan apa yang telah berlaku.
23 Kemudian Hulda menyuruh mereka pulang dan memberitahu raja
24 firman TUHAN ini, “Aku akan menghukum Yerusalem serta semua penduduknya dengan kutuk yang tertulis di dalam kitab yang dibacakan kepada raja.
25 Mereka telah menolak Aku, dan telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Perbuatan mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku. Sekarang Aku murka terhadap Yerusalem, dan kemurkaan-Ku tidak akan padam.
26 Tetapi tentang raja sendiri, demikianlah firman-Ku, TUHAN Allah Israel: Engkau telah memperhatikan kandungan kitab itu,
27 dan engkau bertaubat serta merendahkan diri di hadapan-Ku. Engkau mengoyakkan pakaian serta menangis ketika engkau mendengar ancaman-Ku untuk menghukum Yerusalem dan penduduknya. Aku telah mendengar doamu,
28 oleh itu hukuman yang akan Aku jatuhkan kepada Yerusalem tidak akan berlaku semasa hidupmu. Aku akan membenarkan engkau meninggal dengan tenteram.”
Utusan-utusan itu pun pulang kepada Raja Yosia dan menyampaikan perkhabaran itu.
Raja Yosia Membuat Perjanjian untuk Taat kepada TUHAN
(2 Raj 23.1-20)
29 Raja Yosia memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem,
30 lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai para imam, orang Lewi dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian itu, yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN.
31 Raja berdiri di sisi tiang yang khas untuk raja, lalu membuat perjanjian dengan TUHAN bahawa baginda akan taat kepada-Nya, dan menurut hukum serta perintah-Nya dengan segenap hati dan jiwa, serta memenuhi segala syarat perjanjian yang tercatat di dalam kitab itu.
32 Raja menyuruh semua orang Benyamin dan orang yang berada di Yerusalem supaya berjanji untuk taat kepada perjanjian itu. Demikianlah penduduk Yerusalem taat kepada peraturan-peraturan dalam perjanjian itu, iaitu perjanjian antara mereka dengan Allah nenek moyang mereka.
33 Raja Yosia memusnahkan semua berhala yang menjijikkan, yang terdapat di seluruh wilayah orang Israel. Kemudian baginda mewajibkan rakyatnya beribadat kepada TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Oleh itu selama Raja Yosia hidup, rakyat tetap setia kepada TUHAN.