Yitro Melawat Musa
18
1 Yitro, bapa mentua Musa, imam di Midian, mendengar segala yang telah dilakukan Allah bagi Musa dan orang Israel ketika TUHAN membawa mereka keluar dari Mesir.
2 Oleh itu Yitro bersama dengan Zipora datang melawat Musa. Zipora ialah isteri Musa, yang masih tinggal di Midian.
3 Yitro juga membawa Gersom dan Eliezer, dua orang anak lelaki Zipora. (Musa pernah berkata, “Aku seorang asing di tanah yang tidak aku kenali.” Oleh itu dia menamakan seorang daripada anak lelakinya Gersom.
4 Dia juga berkata, “Allah yang disembah bapaku telah menolong dan menyelamatkan aku daripada dibunuh oleh raja Mesir.” Oleh itu dia menamakan anak lelakinya yang seorang lagi Eliezer.)
5 Yitro datang bersama dengan isteri dan anak-anak lelaki Musa ke padang gurun, tempat Musa berkhemah dekat gunung suci.
6 Yitro telah mengirim khabar kepada Musa bahawa mereka sedang datang.
7 Oleh itu Musa keluar untuk menyambutnya. Dia bersujud di hadapan Yitro lalu menciumnya. Mereka saling bertanya tentang kesihatan masing-masing, lalu masuk ke khemah Musa.
8 Musa memberitahu Yitro segala perbuatan TUHAN terhadap raja dan orang Mesir untuk menyelamatkan orang Israel. Dia juga memberitahu Yitro tentang kesusahan yang dihadapi mereka dalam perjalanan dan bagaimana mereka telah diselamatkan oleh TUHAN.
9 Yitro sangat gembira apabila mendengar segala perkara itu.
10 Dia berkata, “Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan kamu daripada raja dan orang Mesir. Pujilah TUHAN yang telah menyelamatkan umat-Nya daripada perhambaan!
11 Sekarang aku tahu bahawa TUHAN lebih agung daripada semua tuhan, kerana Dia melakukan semua itu ketika orang Mesir bertindak dengan sangat angkuh terhadap orang Israel.”
12 Kemudian Yitro membawa persembahan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga korban-korban lain untuk dipersembahkan kepada Allah. Harun dan semua pemimpin orang Israel pergi dengan Yitro untuk makan bersama-sama di hadirat Allah.
Perlantikan Para Hakim
(Ul 1.9-18)
13 Pada keesokan hari, Musa menyelesaikan perselisihan antara orang Israel. Oleh itu dia sibuk dari pagi hingga malam.
14 Apabila Yitro melihat segala sesuatu yang perlu dilakukan oleh Musa, dia bertanya, “Apakah semua hal ini yang kamu lakukan untuk umat ini? Mengapa kamu melakukan tugas ini seorang diri, sehingga semua orang itu harus berdiri di sini dari pagi hingga malam untuk meminta nasihatmu?”
15 Musa menjawab, “Saya mesti melakukan kerja ini kerana umat datang kepada saya untuk mengetahui kehendak Allah.
16 Apabila dua orang bertengkar, mereka akan datang kepada saya dan saya memutuskan siapa antara mereka yang benar. Saya juga menyampaikan perintah dan hukum Allah kepada mereka.”
17 Kemudian Yitro berkata kepada Musa, “Kamu tidak melakukan tugas ini dengan cara yang betul.
18 Dengan cara ini, kamu akan meletihkan dirimu dan juga semua orang itu. Tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri.
19 Sekarang dengarlah nasihat saya, maka Allah akan menyertai kamu. Memang kamu harus mewakili umat ini di hadapan Allah dan mengemukakan perselisihan mereka kepada-Nya.
20 Kamu harus mengajar mereka tentang perintah dan hukum Allah, serta menerangkan bagaimana mereka harus hidup dan apa yang harus dilakukan.
21 Tetapi selain hal itu, kamu harus memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana. Lantiklah mereka sebagai pemimpin rakyat untuk mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang. Mereka mestilah orang yang takut akan Allah, yang dapat dipercayai, dan yang tidak mahu menerima rasuah.
22 Biarlah mereka sentiasa bertugas sebagai hakim bagi umat. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri harus memutuskan perselisihan yang kecil. Cara ini akan memudahkan pekerjaanmu, kerana mereka akan membantu memikul bebanmu.
23 Jika kamu melakukan hal ini sebagaimana yang diperintahkan Allah, kamu tidak akan meletihkan diri, dan semua orang itu pun dapat pulang ke rumah dengan perselisihan yang sudah diselesaikan.”
24 Musa mengikut nasihat Yitro.
25 Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang.
26 Mereka sentiasa bertugas sebagai hakim orang Israel. Mereka mengemukakan hal-hal yang sukar kepada Musa, tetapi mereka sendiri menyelesaikan perselisihan yang kecil-kecil.
27 Kemudian Musa mengucapkan selamat jalan kepada Yitro, lalu Yitro pulang ke negerinya.