Persembahan untuk Khemah TUHAN
(Kel 35.4-9)
25
TUHAN berfirman kepada Musa, “Suruhlah umat Israel membawa persembahan kepada-Ku. Terimalah apa sahaja persembahan daripada setiap orang yang ingin memberi. Persembahan itu boleh berupa: emas, perak, dan gangsa; kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing; kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia; minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum; batu sardis dan berjenis-jenis permata lain untuk ditatah pada efode dan penutup dada Imam Agung. Suruhlah umat itu membina sebuah khemah suci untuk-Ku supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka. Khemah itu dan semua peralatannya harus dibuat menurut pelan yang akan Aku tunjukkan kepadamu.”
Tabut Perjanjian
(Kel 37.1-9)
10 “Buatlah sebuah Tabut daripada kayu akasia, yang berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi. 11 Bahagian dalam dan luar Tabut itu harus disaluti emas tulen dan bingkainya dibuat daripada emas. 12 Buatlah empat gelang emas dan pasangkan gelang itu pada keempat-empat sudut Tabut; dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah. 13 Buatlah juga kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutlah kayu pengusung itu dengan emas, 14 lalu masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada setiap sisi Tabut itu. 15 Kayu pengusung harus tetap ada dalam gelang-gelang itu, dan tidak boleh dikeluarkan. 16 Kemudian kedua-dua batu tulis yang akan Aku berikan kepadamu harus diletakkan di dalam Tabut; batu-batu itu bertuliskan perintah itu.
17 Buatlah penutup Tabut itu daripada emas tulen; hendaklah penutup itu berukuran 110 sentimeter panjang, dan 66 sentimeter lebar. + 18 Buatlah juga dua kerubf daripada emas tempaan, 19 satu pada setiap hujung penutup Tabut itu. Kedua-dua kerub itu harus dijadikan satu bahagian dengan penutup, 20 dan dibuat saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, dan dengan sayap yang terbentang untuk menutupi penutup itu. 21 Letakkan kedua-dua batu tulis itu di dalam Tabut, lalu tutuplah Tabut itu dengan penutupnya. 22 Aku akan bertemu dengan engkau di sana. Dari atas penutup itu, di antara dua kerubg itu, Aku akan memberi engkau segala hukum-Ku untuk umat Israel.”
Meja Tempat Roti yang Dipersembahkan kepada Allah
(Kel 37.10-16)
23 “Buatlah sebuah meja daripada kayu akasia; meja itu hendaklah berukuran 88 sentimeter panjang, 44 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi. 24 Salutlah meja itu dengan emas tulen dan pasang bingkai emas pada sekelilingnya. 25 Buatlah tepi selebar 7.5 sentimeter dan buat juga bingkai emas pada sekeliling tepi itu. 26 Buatlah empat gelang daripada emas dan pasanglah gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut, tempat kaki meja. 27 Gelang-gelang untuk menyangga kayu pengusung harus dipasang dekat tepi meja. 28 Kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas. 29 Buatlah pinggan, cawan, kendi, dan mangkuk untuk digunakan bagi korban wain. Kesemua alat itu harus dibuat daripada emas tulen. 30 Meja itu harus diletakkan di hadapan Tabut Perjanjian, dan di atas meja itu harus sentiasa diletakkan roti yang dipersembahkan kepada-Ku.” +
Kaki Pelita
(Kel 37.17-24)
31 “Buatlah sebuah kaki pelita daripada emas tulen. Buatlah alas dan batangnya daripada emas tempaan; bunga-bunga hiasan, termasuk kuncup dan kelopaknya hendaklah seiras dengan alas dan batangnya. 32 Enam cabang harus dibuat pada batang kaki pelita itu; tiga cabang pada setiap sisinya. 33 Setiap cabangnya harus dihias dengan hiasan berupa tiga kuntum bunga badam dengan kuncup dan kelopaknya. 34 Batang kaki pelita itu harus dihias dengan empat kuntum bunga hiasan yang berupa bunga badam, dengan kuncup dan kelopaknya. 35 Satu kuncup harus dibuat di bawah setiap pasang cabang itu. 36 Kuncup-kuncup, cabang-cabang, dan kaki pelita itu hendaklah dibuat daripada sekeping emas tempaan tulen. 37 Buatlah tujuh buah pelita bagi kaki pelita itu dan pasanglah pelita-pelita itu dengan begitu rupa agar cahayanya memancar ke hadapan. 38 Buatlah penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dan juga dulangnya daripada emas tulen. 39 Gunakanlah 35 kilogram emas tulen untuk membuat kaki pelita itu dan segala peralatannya. 40 Berhati-hatilah membuat semuanya menurut pelan yang telah Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini.” +
e 25:7 Efod: Sehelai pakaian serupa baju dalam yang tidak berlengan, dibuat daripada kain beraneka warna yang sangat berharga. Pada baju ini diikatkan sebuah kantung berisi Urim dan Tumim, dua benda yang digunakan oleh imam untuk mengetahui kehendak Allah. + 25:17 Ibr 9.5 f 25:18 Kerub: Golongan malaikat yang digambarkan sebagai makhluk bersayap, lambang keagungan Allah dan hadirat-Nya. g 25:22 Kerub: Lihat 25.18. + 25:30 Im 24.5-8 + 25:40 Kis 7.44; Ibr 8.5