Roh Allah dan Roh Musuh
4
1 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerana banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat.
2 Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah.
3 Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini.
4 Tetapi anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, kerana Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini.
5 Nabi-nabi palsu itu berkata-kata tentang perkara-perkara dunia, dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka, kerana mereka milik dunia ini.
6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah, mendengar kata-kata kita. Sesiapa yang bukan milik Allah, tidak mahu mendengar kata-kata kita. Itulah caranya kita dapat membezakan Roh yang memberikan ajaran benar,
Allah itu Kasih
7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, marilah kita saling mengasihi kerana kasih berasal daripada Allah. Sesiapa yang saling mengasihi, mengenal Allah dan dia anak Allah.
8 Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih.
9 Inilah cara Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal.
10 Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui Dia dosa kita diampunkan.
11 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika Allah sangat mengasihi kita, kita pun harus saling mengasihi.
12 Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Jika kita saling mengasihi, Allah hidup bersatu dengan kita, dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita.
13 Kerana Allah telah mengurniai kita Roh-Nya, kita tahu bahawa kita hidup bersatu dengan Allah dan Allah hidup bersatu dengan kita.
14 Kami sendiri telah melihat Anak Allah dan memberitahu orang lain bahawa Bapa mengutus Anak-Nya untuk menjadi Penyelamat dunia ini.
15 Allah hidup bersatu dengan orang yang mengakui Yesus itu Anak Allah, dan mereka hidup bersatu dengan Allah.
16 Kita sendiri tahu dan benar-benar yakin bahawa Allah mengasihi kita.
Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi orang lain, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia.
17 Kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita beroleh keberanian pada Hari Kiamat kelak. Kita tentu akan mempunyai keberanian, kerana hidup kita di dunia ini seperti hidup Kristus.
18 Orang yang menikmati kasih Allah tidak mengenal perasaan takut, kerana kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut. Oleh itu, orang yang belum menikmati kasih Allah dengan sempurna, akan takut menghadapi hukuman pada Hari Kiamat.
19 Kita mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu.
20 Jika seseorang berkata, “Aku mengasihi Allah,” tetapi dia membenci saudaranya, orang itu pendusta. Jika seseorang tidak mengasihi saudaranya yang dilihatnya, tidak mungkin dia dapat mengasihi Allah yang tidak dilihatnya.
21 Inilah perintah yang diberikan oleh Kristus kepada kita: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga.