Zofar
20
Kemudian Zofar menjawab,
“Ayub, aku berasa tersinggung olehmu;
kini aku ingin segera memberikan jawapanku.
Kata-katamu sungguh menghina,
tetapi aku tahu menjawabnya.
Tentu engkau tahu bahawa sejak zaman purba,
sejak manusia mula-mula ditempatkan di bumi,
kebahagiaan orang jahat tidak tahan lama;
kegembiraan orang derhaka seketika sahaja.
Walaupun kebesaran mereka sampai ke angkasa,
sehingga kepala mereka sampai ke mega,
namun mereka akan lenyap selama-lamanya,
menghilang dari dunia dengan cara yang terhina.
Orang yang telah mengenal mereka akan bertanya,
‘Ke mana mereka pergi?’
Mereka akan hilang seperti mimpi,
lenyap seperti penglihatan pada malam hari.
Mereka tidak lagi kelihatan;
mereka tiada lagi di tempat tinggal mereka.
10 Anak-anak mereka akan mengganti apa sahaja
yang telah dicuri mereka daripada orang papa.
11 Dahulu badan mereka muda dan perkasa,
tetapi mereka akan menjadi debu belaka.
12-13 Kejahatan sungguh manis bagi mereka,
sehingga disimpan di dalam mulut untuk dinikmati mereka.
14 Tetapi di dalam perut makanan itu menjadi pahit,
seperti racun yang mendatangkan maut.
15 Mereka memuntahkan kekayaan yang telah dicuri mereka;
Allah mengeluarkannya bahkan dari dalam perut mereka.
16 Apa yang ditelan orang jahat seperti racun yang membawa bencana;
mereka mati seperti dipatuk ular berbisa.
17 Mereka tidak akan menikmati minyak zaitun yang berlimpah,
ataupun susu dan madu yang bertumpah-ruah.
18 Mereka harus menyerahkan segala yang telah dikerjakan mereka;
mereka tidak berpeluang menikmati kekayaan mereka,
19 sebab mereka telah menindas dan membiarkan orang miskin,
dan merampas rumah yang dibina orang lain.
20 Ketamakan mereka tidak mengenal batas,
maka mereka tidak akan pernah puas.
21 Apabila mereka makan, tidak pernah ada sisa,
tetapi, kini berakhirlah kemakmuran mereka.
22 Pada puncak kejayaan mereka,
duka dan derita datang menimpa mereka.
23 Semasa mereka makan segala yang dikehendaki mereka,
Allah akan menjadi murka dan menghukum mereka.
24 Apabila mereka cuba mengelakkan diri daripada pedang besi,
panah gangsa akan melukakan mereka.
25 Anak panah menembusi badan mereka;
hujung panah yang berkilat menitiskan darah mereka,
dan ketakutan akan mencengkam hati mereka.
26 Segala yang telah dikumpulkan mereka musnah;
api yang tidak dinyalakan tangan manusia
membakar mereka serta semua keluarga mereka.
27 Langit menyatakan dosa mereka,
dan bumi bangkit melawan mereka.
28 Segala kekayaan mereka akan musnah
kerana dilanda kemurkaan Allah.
29 Begitulah kesudahan orang yang durjana,
kesudahan yang ditentukan Allah bagi mereka.”