36
1-2 Dengarlah sebentar lagi dan bersabarlah,
masih ada yang hendak aku katakan demi Allah.
Pengetahuanku luas; aku akan menggunakannya
untuk menunjukkan bahawa Penciptaku adil.
Perkataanku tiada yang palsu;
orang yang sungguh bijak berada di depanmu.
Allah sungguh perkasa, dan tidak menghina sesiapa;
segala sesuatu difahami-Nya.
Dia tidak membiarkan orang berdosa hidup lama,
dan Dia memberikan keadilan kepada orang yang menderita.
Dia melindungi orang yang jujur;
Dia membiarkan mereka memerintah seperti raja
sehingga mereka dihormati selama-lamanya.
Tetapi jika orang dibelenggu dengan rantai besi,
dan menderita kerana perbuatan mereka sendiri,
maka dosa dan kesombongan mereka,
akan dinyatakan oleh Allah.
10 Dia menggerakkan mereka supaya mendengarkan amaran-Nya,
dan supaya meninggalkan kejahatan mereka.
11 Jika mereka mematuhi Allah dan mengabdi kepada-Nya,
mereka akan hidup aman dan makmur sampai akhir hayat mereka.
12 Tetapi jika mereka tidak mematuhi Allah, mereka akan binasa;
mereka akan mati dalam kebodohan mereka.
13 Orang yang tidak mengenal Allah, menyimpan kemarahan;
walaupun dihukum, mereka tidak berdoa minta pertolongan.
14 Mereka mati ketika masih muda,
kerana hidup mereka penuh aib.
15 Tetapi Allah mengajar manusia melalui penderitaan
dan menginsafkan mereka melalui kesusahan.
16 Allah telah melepaskan engkau daripada kesusahan,
dan membiarkan engkau menikmati keamanan,
dan mejamu dipenuhi makanan.
17 Tetapi kini, setimpal dengan kejahatanmu,
engkau menerima hukumanmu.
18 Waspadalah, jangan biarkan rasuah menipu engkau,
dan jangan biarkan kekayaan menyesatkan engkau.
19 Tiada gunanya engkau berteriak minta bantuan;
segenap tenagamu tidak dapat memberikan pertolongan.
20 Jangan rindukan malam yang gelap,
waktunya bangsa-bangsa binasa dan lenyap.
21 Waspadalah, jangan berpaling kepada kejahatan;
penderitaan didatangkan untuk menjauhkan engkau daripada kejahatan.
22 Ingatlah, kuasa Allah sungguh besar.
Dialah guru yang maha besar.
23 Tiada sesiapa yang boleh memberitahu Allah apa yang harus dilakukan,
ataupun menuduh Dia melakukan kejahatan.
24 Allah sentiasa dipuji kerana perbuatan-Nya;
engkau juga mesti menyanjung Dia.
25 Semua orang telah melihat perbuatan-Nya;
tetapi kita dapat memandang dari jauh sahaja.t
26 Kita tidak dapat mengetahui keagungan Allah dengan sepenuhnya,
ataupun mengira jumlah tahun-Nya.
27 Allah yang menarik air dari bumi ke langit,
dan mengubahnya menjadi titisan air hujan.
28 Dia membiarkan air mencurah dari mega,
menjadi hujan yang turun ke atas semua manusia.
29 Tiada sesiapa yang tahu caranya awan bergerak,
atau guruh mengguntur di langit tempat kediaman Allah.
30 Dia menerangi seluruh langit dengan kilat,
tetapi dasar laut tetap gelap pekat.
31 Itulah cara Dia memberikan makananu kepada manusia,
dan menyediakan makanan yang berlimpah-limpah.
32 Dia menangkap kilat dengan tangan,
lalu menyuruhnya menyambar sasaran.
33 Bunyi guruh menandakan bahawa ribut akan melanda,
dan ternakan pun tahu bahawa badai segera tiba.
t 36:25 kita dapat memandang dari jauh sahaja; atau tidak seorang pun memahaminya. u 36:31 Dapat bermakna: memberikan makanan; Naskhah Ibrani: menghakimi.