Bildad
8
1 Kemudian Bildad dari negeri Suah berkata,
2 “Berapa lama lagi engkau bercakap begitu?
Hanya cakap angin kata-katamu itu.
3 Allah tidak pernah memutarbalikkan keadilan;
Dia tidak pernah gagal melakukan hal yang benar.
4 Anak-anakmu tentu telah berdosa terhadap Allah,
maka patutlah mereka dihukum oleh-Nya.
5 Tetapi kini kembalilah kepada Allah,
dan merayulah kepada Yang Maha Kuasa.
6 Jika engkau sungguh tulus dan jujur,
Allah akan datang dan menolong engkau
serta memulihkan rumah tanggamu sebagai ganjaranmu.
7 Segala kekayaanmu yang hilang itu tidak bererti,
jika dibandingkan dengan apa yang engkau dapat nanti.
8 Renunglah kebijaksanaan zaman purba;
fikirkanlah pengalaman nenek moyang kita.
9 Hidup kita singkat sekali dan kita tidak tahu apa-apa;
kita berlalu seperti bayang-bayang di dunia.
10 Tetapi hendaklah engkau diajar orang bijak zaman purba;
dengarlah kata-kata mereka,
11 ‘Gelagah tumbuh di tempat berair sahaja,
dan mensiang hanya didapati di tanah paya.
12 Jika air mengering, layulah gelagah,
lebih cepat daripada tumbuhan lain.
Padahal, gelagah itu masih terlalu muda
untuk dipotong dan digunakan.
13 Begitulah orang yang tidak mengenal Allah;
harapan mereka hilang apabila mereka lupa akan Allah.
14 Mereka berharap kepada benang yang halus,
mereka percaya kepada sarang labah-labah.
15 Kuatkah sarang itu jika dijadikan sandaran?
Tahankah benang jika dijadikan pegangan?’
16 Orang jahat tumbuh seperti rumpai di bawah matahari,
seperti rumpai yang berselerak di seluruh taman.
17 Akarnya melilit batu,
dan mencengkam setiap batu itu.
18 Tetapi setelah rumpai dicabut
tiada orang tahu bahawa rumpai pernah di situ.
19 Memang, itu sahaja keriangan bagi orang jahat;
kini orang lain yang mengambil tempat mereka.
20 Tetapi Allah tidak pernah meninggalkan orang yang setia,
Dia tidak pernah menolong orang yang durjana.
21 Dia akan membiarkan engkau tertawa
dan bersorak-sorak dengan gembira,
22 tetapi orang yang membenci engkau akan dipermalukan,
dan tempat kediaman orang jahat akan dimusnahkan.”