Doa Yunus 
2
1 Dari dalam perut ikan itu, Yunus berdoa kepada TUHAN, Allahnya. Dia berkata, 
2 “Ya TUHAN, dalam kesusahanku aku berseru kepada-Mu, 
dan Engkau menjawab aku. 
Dari dunia orang mati aku mohon pertolongan, 
permohonanku Engkau dengar dan perhatikan. 
3 Engkau melemparkan aku ke tempat yang dalam, 
sampai ke dasar lautan. 
Di sana arus air mengelilingi aku, 
ombak dan gelombang yang Engkau datangkan 
menghempaskan aku. 
4 Aku berfikir bahawa 
Engkau sudah menghalau aku dari hadirat-Mu, 
dan aku tidak akan melihat lagi 
rumah kediaman-Mu yang suci. 
5 Air laut naik sampai ke bibirku, 
samudera raya meliputi seluruh tubuhku, 
rumpai laut melilit kepalaku. 
6-7 Aku turun sampai ke dasar pergunungan, 
ke alam yang gerbangnya terkunci sehingga selama-lamanya. 
Ketika nyawaku hampir pergi daripada diriku, 
aku ingat akan TUHAN, 
lalu aku berseru kepada-Mu. 
Engkau, ya TUHAN, mendengarkan doaku, 
di Rumah-Mu yang suci Engkau mendengarkan aku. 
Dari laut yang dalam, 
Engkau menyelamatkan aku, 
ya TUHAN Allahku! 
8 Para penyembah berhala yang sia-sia, 
meninggalkan Engkau dan tidak lagi setia. 
9 Tetapi aku akan menyanyikan puji-pujian bagi-Mu 
dan aku akan mempersembahkan korban untuk-Mu. 
Aku akan menunaikan segala janjiku. 
Engkaulah TUHAN yang menyelamatkan.” 
10 Kemudian, atas perintah TUHAN, ikan itu memuntahkan Yunus ke daratan.