Negeri Moab Akan Dimusnahkan
48
Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Moab,
“Kasihanilah penduduk Nebo -
kota mereka sudah musnah!
Kota Kiryataim sudah direbut,
kubunya yang kuat sudah roboh,
dan rakyatnya dipermalukan;
kemuliaan Moab sudah lenyap.
Musuh telah merebut kota Hesybon;
musuh berkomplot untuk memusnahkan bangsa Moab.
Kota Madmen akan menjadi lengang;
tentera musuh akan menyerangnya.
Penduduk kota Horonaim berteriak,
‘Keganasan! Kehancuran!’
Moab telah dimusnahkan;
dengarlah tangisan anak-anak.
Dengarlah mereka menangis teresak-esak
di sepanjang jalan naik ke kota Luhit,
mereka menangis kerana sedih,
di sepanjang jalan turun ke kota Horonaim.
‘Cepatlah!’ kata mereka.
‘Larilah dan selamatkanlah diri kamu!
Berlarilah seperti keldai liar di gurun!’
Hai Moab, engkau berharap kepada kekuatan dan kekayaanmu,
tetapi sekarang engkau pun akan dikalahkan;
Kamos, dewa kamu, bersama dengan para imam dan pegawai pemerintah
akan dibuang ke negeri lain.
Satu kota pun tidak akan terlepas daripada kemusnahan,
bukit dan lembah akan dimusnahkan!
Aku, TUHAN, telah berfirman.
Sediakanlah batu nisan bagi Moab,
negeri itu segera akan dimusnahkan.
Kota-kotanya akan runtuh,
dan tidak akan dihuni orang lagi.”
10 Kutuklah orang yang tidak melakukan pekerjaan TUHAN dengan sepenuh hati! Kutuklah orang yang tidak menghunus pedang dan melakukan pembunuhan!
Kota-Kota Moab Dimusnahkan
11 TUHAN berfirman, “Selama ini Moab sentiasa hidup dengan aman, dan tidak pernah dibuang ke negeri lain. Moab seperti wain yang dibiarkan mengendap, tanpa diganggu atau dituang dari tempayan ke tempayan. Rasanya masih enak dan baunya masih harum.
12 Oleh itu sekarang tibalah masanya Aku menyuruh orang menuang Moab seperti wain. Mereka akan mengosongkan tempayan wain lalu memecahkannya. 13 Kemudian orang Moab akan dikecewakan oleh Kamos, dewa mereka, sebagaimana orang Israel dikecewakan oleh Betel, dewa yang dipercayai mereka.
14 Hai penduduk negeri Moab,
mengapa kamu menganggap diri sebagai pahlawan,
dan sebagai askar perkasa yang diuji dalam pertempuran?
15 Moab dan kota-kotanya telah dimusnahkan;
kaum mudanya yang terbaik telah dibunuh.
Akulah raja, TUHAN Yang Maha Kuasa,
dan Aku telah berfirman.
16 Malapetaka untuk Moab sudah hampir tiba,
tidak lama lagi Moab akan musnah.
17 Berkabunglah bagi bangsa itu,
hai penduduk yang berhampiran,
kamu semua yang kenal kemasyhurannya.
Katakanlah, ‘Kuasa pemerintahannya telah dihancurkan;
kemuliaan dan kekuatannya pun sudah lenyap.’
18 Hai kamu yang tinggal di kota Dibon,
turunlah dari tempat kamu yang terhormat,
dan duduklah dalam debu di tanah.
Pemusnah Moab sudah tiba,
dan telah memusnahkan semua kubunya.
19 Hai kamu yang tinggal di kota Aroer,
berdirilah di tepi jalan dan tunggulah;
tanyalah orang yang sedang melarikan diri,
tentang hal yang telah terjadi.
20 Mereka akan menjawab, ‘Moab sudah jatuh!
Moab telah dipermalukan; tangisilah Moab.
Umumkanlah di sepanjang Sungai Arnon
bahawa Moab sudah musnah!’
21 Hukuman telah dijatuhkan atas kota-kota di kawasan dataran tinggi: di Holon, Yahas, Mefaat, 22 Dibon, Nebo, Bet-Diblataim, 23 Kiryataim, Bet-Gamul, Bet-Meon, 24 Keriot, dan Bozra. Semua kota negeri Moab, jauh dan dekat, telah dihukum. 25 Kekuatan Moab telah dihancurkan; kuasanya telah dipatahkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Moab Akan Direndahkan
26 TUHAN berfirman, “Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku, kerana itu buatlah dia mabuk. Moab akan berguling-guling dalam muntahnya sendiri, lalu ditertawakan orang. 27 Hai Moab, adakah engkau ingat bahawa dahulu engkau mentertawakan umat Israel dan memfitnah mereka seolah-olah mereka tertangkap basah bersama-sama pencuri?
28 Hai penduduk Moab, tinggalkanlah kota-kota kamu! Pergilah ke bukit batu dan tinggallah di sana seperti burung merpati yang membuat sarang di tebing jurang. 29 Moab sangat sombong! Aku telah mendengar betapa sombong, congkak, dan angkuh penduduk Moab itu! Mereka terlalu memikirkan diri sendiri. 30 Aku, TUHAN tahu akan kesombongan mereka! Cakap besar mereka kosong belaka, dan perbuatan mereka tidak berguna! 31 Itulah sebabnya Aku akan menangisi semua penduduk negeri Moab dan Kir-Heres. 32 Aku akan lebih menangisi penduduk Sibma daripada penduduk Yaezer. Hai kota Sibma, engkau seperti pokok anggur yang carangnya merambat sampai ke seberang Laut Mati, sejauh kota Yaezer. Tetapi sekarang buah-buah musim panasmu dan buah anggurmu telah dirosakkan. 33 Kegembiraan dan sukacita telah lenyap dari tanah Moab yang subur. Aku telah menghentikan aliran wain dari pemerah wain; tiada lagi orang yang membuat wain dan bersorak gembira.
34 Penduduk kota Hesybon dan Eleale menangis sehingga tangisan mereka kedengaran di Yahas, dan juga terdengar oleh orang dari Zoar sampai ke Horanaim dan Eglat-Selisia. Sungai Nimrim pun sudah kering. 35 Aku akan menghentikan penduduk Moab daripada membakar korban di tempat-tempat pemujaan mereka, dan menghentikan mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.
36 Semua harta milik penduduk Kir-Heres dan Moab sudah lenyap. Aku sedih melihat keadaan mereka; Aku seperti orang yang memainkan lagu perkabungan dengan sebatang suling. 37 Mereka semua sudah mencukur rambut dan janggut, melukai tangan, dan memakai kain guni sebagai tanda bersedih. 38 Di atas semua bumbung rumah dan di semua padang di Moab tiada terdengar apa-apa pun kecuali ratapan, kerana Aku telah menghancurkan Moab seperti tempayan yang tidak disukai orang. 39 Moab telah dihancurkan! Menangislah! Moab telah dipermalukan! Moab telah runtuh. Semua negara jiran mentertawakan Moab. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Moab Tidak Akan Terselamat
40 TUHAN telah berjanji bahawa suatu bangsa akan menyambar Moab seperti seekor helang yang menyambar dengan sayap terkembang. 41 Kota-kota dan kubu-kubunya akan direbut. Pada hari itu askar-askar Moab akan ketakutan seperti perempuan yang sedang bersalin. 42 Moab akan musnah dan tidak lagi merupakan satu bangsa, kerana Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku. 43 Kegentaran, lubang, dan perangkap sedang menunggu penduduk Moab. TUHAN telah berfirman. 44 Orang yang cuba melepaskan diri daripada kegentaran itu akan jatuh ke dalam lubang, dan orang yang cuba keluar dari lubang itu akan masuk ke dalam perangkap, kerana TUHAN telah menentukan waktu kehancuran bagi Moab. 45 Orang pelarian yang tidak berdaya cuba berlindung di Hesybon, kota yang pernah diperintah oleh Raja Sihon, tetapi sekarang kota itu sedang terbakar.a Api telah menghanguskan kawasan di sempadan dan di kawasan pergunungan Moab, negeri orang yang suka berperang. 46 Kasihanilah orang Moab! Bangsa yang menyembah Dewa Kamos telah musnah; anak lelaki dan anak perempuan mereka telah ditangkap sebagai orang tawanan.
47 Tetapi pada masa yang akan datang, TUHAN akan menjadikan Moab makmur semula. TUHAN telah berfirman bahawa semua perkara itu akan berlaku kepada Moab. +
a 48:45 Hesybon, kota...terbakar; atau di kota Hesybon, tetapi kota itu sedang terbakar dan istana Raja Sihon sedang terbakar. + 48:47 Yes 15.1—16.14, 25.10-12; Yeh 25.8-11; Am 2.1-3; Zef 2.8-11