Perayaan-Perayaan Agama
23
TUHAN memberikan peraturan-peraturan ini kepada Musa tentang perayaan-perayaan agama yang mesti diisytiharkan sebagai masa untuk beribadat. Ada enam hari untuk kamu bekerja, tetapi ingatlah bahawa hari ketujuh, iaitu hari Sabat, adalah hari rehat. Jangan bekerja pada hari itu, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Hari Sabat itu hari yang dikhaskan bagi TUHAN, di mana sahaja kamu tinggal. + Yang berikut adalah perayaan-perayaan yang sudah ditetapkan oleh TUHAN, dan mesti diisytiharkan pada masa-masa yang ditetapkan.
Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi
(Bil 28.16-25)
Perayaan Paska, yang dirayakan untuk menghormati TUHAN, bermula pada saat matahari terbenam, pada hari keempat belas bulan pertama. + Pada hari kelima belas, Perayaan Roti Tidak Beragi akan bermula. Selama tujuh hari kamu tidak boleh makan roti yang beragi. Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat, dan jangan lakukan pekerjaan harian. Selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN. Pada hari ketujuh, sekali lagi kamu harus berkumpul untuk beribadat, dan jangan lakukan pekerjaan harian. +
9-10 Apabila kamu masuk ke negeri yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu dan menuai barli, kamu harus membawa berkas barli yang pertama kepada imam. 11 Kemudian imam akan mempersembahkan barli itu kepada TUHAN sebagai persembahan istimewa, supaya TUHAN berkenan kepada kamu. Imam akan mempersembahkan barli itu pada hari selepas hari Sabat. 12 Pada hari kamu mempersembahkan barli itu, kamu juga harus mempersembahkan seekor domba jantan yang berumur satu tahun dan yang tidak ada kecacatan, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 13 Bersama dengan korban itu, kamu harus mempersembahkan dua kilogram tepung terbaik yang bercampur minyak zaitun sebagai persembahan makanan. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. Bersama dengan korban itu, persembahkan juga satu liter wain. 14 Jangan makan barli baru kamu itu, sama ada yang mentah, yang dipanggang, ataupun yang dijadikan roti, sebelum kamu mempersembahkan barli baru itu kepada Allah. Peraturan ini harus dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya.
Perayaan Menuai
(Bil 28.26-31)
15 Mulai hari selepas Sabat, ketika kamu mempersembahkan berkas barli yang pertama kepada TUHAN, kamu harus menghitung tujuh minggu penuh. 16 Pada hari kelima puluh, iaitu hari selepas Sabat yang ketujuh, persembahkanlah gandum baru sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. 17 Tiap-tiap keluarga harus membawa dua buku roti, sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN. Tiap-tiap buku roti harus dibuat daripada dua kilogram tepung terbaik yang bercampur ragi. Roti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN sebagai korban daripada tuaian gandum yang pertama. 18 Bersama dengan roti itu, umat Israel harus mempersembahkan tujuh ekor anak domba yang berumur satu tahun, seekor lembu jantan, dan dua ekor kambing jantan. Semua binatang itu tidak boleh ada kecacatan. Persembahkanlah semua itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban untuk mengucap syukur dan korban wain. Bau persembahan itu menyenangkan hati TUHAN. 19 Selain itu persembahkanlah seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, dan dua ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. 20 Kemudian imam akan mempersembahkan roti dan dua ekor anak domba itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN, dan persembahan ini menjadi milik para imam. Persembahan-persembahan ini suci. 21 Pada hari itu jangan lakukan pekerjaan harian, tetapi berkumpullah untuk beribadat. Keturunan kamu mesti patuh kepada peraturan ini selama-lamanya, di mana sahaja mereka tinggal. +
22 Apabila kamu menuai gandum di ladang, jangan tuai gandum yang tumbuh di tepi ladang, dan jangan kembali ke ladang untuk menuai gandum yang tertinggal. Tinggalkan semua itu untuk orang miskin dan orang asing. TUHAN ialah Allah kamu. +
Perayaan Tahun Baru
(Bil 29.1-6)
23-24 Hari pertama bulan ketujuh harus dirayakan sebagai hari yang khas untuk berehat. Apabila trompet ditiup pada hari itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. 25 Persembahkanlah persembahan makanan kepada TUHAN, dan jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu.
Hari Pengampunan Dosa
(Bil 29.7-11)
26-27 Hari kesepuluh bulan tujuh adalah hari untuk melakukan upacara tahunan bagi pengampunan dosa umat Israel. Pada hari itu kamu harus berpuasa dan berkumpul untuk beribadat, serta mempersembahkan persembahan makanan kepada TUHAN. 28 Jangan bekerja pada hari itu, kerana hari itu adalah hari untuk melakukan upacara pengampunan dosa, supaya kamu mendapat keampunan di hadapan TUHAN, Allah kamu. 29 Sesiapa yang makan pada hari itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. 30 Sesiapa yang bekerja pada hari itu akan dibinasakan oleh TUHAN sendiri. 31 Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu, di mana sahaja mereka tinggal. 32 Mulai dari saat matahari terbenam pada hari kesembilan bulan itu, sehingga saat matahari terbenam pada hari kesepuluh bulan yang sama, kamu harus merayakannya seperti hari Sabat, hari yang khas untuk berehat. Kamu mesti berpuasa sepanjang hari itu. +
Perayaan Pondok Daun
(Bil 29.12-40)
33-34 Perayaan Pondok Daun bermula pada hari kelima belas bulan ketujuh dan berlangsung selama tujuh hari. 35 Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul untuk beribadat. Jangan lakukan pekerjaan harian pada hari itu. 36 Setiap hari selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Pada hari kelapan, kamu harus berkumpul lagi untuk beribadat dan kamu harus mempersembahkan persembahan makanan. Hari itu adalah hari untuk beribadat; kamu tidak boleh melakukan pekerjaan harian pada hari itu. +
37 Inilah perayaan-perayaan agama yang ditetapkan oleh TUHAN, dan yang mesti kamu rayakan. Pada masa perayaan itu kamu mesti menghormati TUHAN dengan berkumpul bersama-sama untuk beribadat dan mempersembahkan persembahan makanan, korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur, korban-korban, dan korban wain, sebagaimana yang ditetapkan untuk setiap hari. 38 Perayaan-perayaan itu adalah tambahan kepada hari-hari Sabat yang biasa, dan korban-korban itu adalah tambahan kepada persembahan yang biasa kamu berikan untuk menunaikan nazar ataupun sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela kepada TUHAN.
39 Pada hari kelima belas bulan ketujuh, sesudah kamu selesai menuai, kamu mesti merayakan perayaan itu selama tujuh hari. Hari pertama dan hari terakhir perayaan itu adalah hari yang khas untuk berehat. 40 Pada hari yang pertama, ambillah buah yang terbaik dari pokok buah kamu, dan ambillah juga daun-daun palma, dahan-dahan pokok yang rimbun, dan pokok renek berbunga dari tebing sungai, lalu mulakanlah perayaan gembira itu untuk menghormati TUHAN, Allah kamu. 41 Rayakanlah perayaan itu selama tujuh hari. Peraturan ini mesti dipatuhi oleh semua keturunan kamu selama-lamanya. 42 Semua orang Israel harus tinggal di pondok-pondok daun selama tujuh hari, 43 supaya keturunan kamu tahu bahawa TUHAN menyuruh orang Israel tinggal di pondok-pondok daun, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir. Dialah TUHAN, Allah kamu. +
44 Demikianlah Musa memberi umat Israel peraturan-peraturan untuk merayakan perayaan-perayaan agama bagi menghormati TUHAN.
+ 23:3 Kel 20.8-10, 23.12, 31.14-15, 34.21, 35.2; Ul 5.12-14 + 23:5 Kel 12.1-13; Ul 16.1-2 + 23:8 Kel 12.14-20, 23.15, 34.18; Ul 16.3-8 + 23:21 Kel 23.16, 34.22; Ul 16.9-12 + 23:22 Im 19.9-10; Ul 24.19-22 + 23:32 Im 16.29-34 + 23:36 Ul 16.13-15 + 23:43 Kel 23.16, 34.22