147
Pujian untuk Allah Yang Maha Kuasa
1 Pujilah TUHAN!
Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita;
memang elok dan patut kita memuji Dia.
2 TUHAN sedang memulihkan Yerusalem;
Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan.
3 Dia menyembuhkan orang yang hancur hati,
dan membalut luka mereka.
4 Dia telah menentukan jumlah bintang,
dan memberikan nama setiap bintang.
5 Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita;
kebijaksanaan-Nya tidak terhingga.
6 Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas,
tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat.
7 Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN,
dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita.
8 Dia membentangkan awan di langit;
Dia menurunkan hujan ke bumi,
dan menumbuhkan rumput di bukit.
9 Dia memberikan makanan kepada binatang,
dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap.
10 Dia tidak suka akan kuda yang kuat,
ataupun askar yang berani;
11 tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya,
orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal.
12 Pujilah TUHAN, hai Yerusalem!
Pujilah Allahmu, hai Sion!
13 Dia menguatkan pintu gerbangmu;
Dia memberkati umatmu.
14 Dia menjaga keamanan negerimu
dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik.
15 Dia memberikan perintah kepada bumi,
dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera.
16 Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut,
Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu.
17 Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil;
tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu.
18 Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair;
Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir.
19 Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya,
peraturan dan hukum-Nya kepada Israel.
20 Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain;
mereka tidak mengenal hukum-Nya.
Pujilah TUHAN!