57
Doa Minta Tolong
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, pada masa dia lari ke dalam gua untuk menghindari Raja Saul.
2 Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku,
kerana aku mencari keselamatan daripada-Mu.
Aku mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu,
sehingga ribut yang mengamuk sudah berlalu.
3 Kepada Allah Yang Maha Tinggi aku berseru,
Dia Allah yang memenuhi segala keperluanku.
4 Dia akan menjawab dari syurga dan menyelamatkan aku;
Dia akan mengalahkan orang yang menindas aku.
Allah akan menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepadaku.
5 Aku dikepung oleh musuh,
mereka seperti singa pemakan manusia.
Gigi mereka seperti lembing dan anak panah;
lidah mereka seperti pedang yang tajam.
6 Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit,
dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi!
7 Musuhku memasang jaring untuk menangkap aku,
aku diliputi perasaan putus asa.
Mereka menggali lubang di jalanku,
tetapi mereka sendiri terjatuh ke dalamnya.
8 Ya Allah, aku sungguh yakin kepada-Mu;
aku hendak menyanyi dan memuji Engkau!
9 Bangunlah, hai jiwaku!
Bangunlah, hai gambus dan kecapi!
Aku akan membangunkan matahari!
10 Ya Tuhan, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa.
Aku akan memuji Engkau antara umat manusia.
11 Kasih-Mu membumbung setinggi langit,
kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.
12 Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit,
dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi.