6
Doa Minta Tolong
1 Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud.
2 Ya TUHAN, janganlah marah aku ketika Engkau murka!
Janganlah hukum aku ketika Engkau marah!
3 Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku penat;
pulihkanlah aku kerana aku sungguh letih.
4 Hatiku resah gelisah.
Sampai bilakah Engkau tinggalkan aku, ya TUHAN?
5 TUHAN, datanglah dan selamatkanlah aku,
selamatkanlah aku daripada maut demi kasih-Mu.
6 Di alam maut Engkau tidak diingat lagi;
tiada sesiapa pun memuji Engkau di dunia orang mati.
7 Aku tidak bermaya kerana dilanda kesedihan;
setiap malam tempat tidurku dibasahi tangisan;
bantalku dibasahi air mata.
8 Mataku rabun dan bengkak kerana terlalu banyak menangis,
semua itu disebabkan oleh musuh-musuhku.
9 Nyahlah, hai orang jahat!
TUHAN mendengar tangisanku;
10 Dia mendengar permohonanku,
dan mengabulkan doaku.
11 Semua musuhku akan cemas dan malu
dan segera mundur dengan tersipu-sipu.