81
Lagu Perayaan
1 Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf.
2 Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita;
nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub.
3 Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin;
mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus.
4 Tiuplah trompet untuk perayaan kita
pada waktu bulan baru dan bulan purnama.
5 Inilah satu hukum untuk Israel,
satu perintah daripada Allah Yakub.
6 Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel,
ketika Dia menyerang negeri Mesir.
Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata,
7 “Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu;
dan membebaskan kamu daripada kerja paksa.
8 Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku,
dan Aku pun menyelamatkan kamu.
Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir,
Aku mengabulkan permintaan kamu;
di mata air Meriba Aku menguji kamu.
9 Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku;
Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku!
10 Jangan sembah tuhan lain.
11 Akulah TUHAN, Allah kamu,
yang membawa kamu keluar dari Mesir.
Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan.
12 Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku;
Israel tidak mahu taat kepada-Ku.
13 Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka,
dan berbuat sesuka hati mereka.
14 Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku,
sekiranya mereka taat kepada-Ku,
15 Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera,
dan menaklukkan semua lawan mereka.
16 Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku;
mereka akan dihukum selama-lamanya.
17 Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan,
dan Kukenyangkan dengan madu hutan.”