KISAH RASUL-RASUL
Kata Pengantar
Kisah Rasul-Rasul adalah sambungan kitab Berita Baik yang Disampaikan oleh Lukas. Tujuan utama Kisah Rasul-Rasul adalah mengisahkan bagaimana dengan pimpinan Roh Allah, pengikut-pengikut Yesus yang mula-mula mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus “di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, bahkan sampai ke hujung bumi” (1.8). Kitab ini menceritakan kisah pergerakan Kristian yang bermula antara orang Yahudi, lalu menjadi kepercayaan untuk seluruh dunia. Penulis kitab ini mahu meyakinkan para pembacanya bahawa orang Kristian bukanlah suatu anasir politik subversif yang mengancam Empayar Roma, dan bahawa agama Kristian menyempurnakan agama Yahudi.
Kisah Rasul-Rasul dapat dibahagi kepada tiga bahagian. Setiap bahagian menunjukkan perluasan wilayah tempat Berita Baik tentang Yesus dikhabarkan, dan tentang bagaimana jemaah Kristian dimulakan:
(1) Permulaan pergerakan Kristian di Yerusalem setelah Yesus diangkat ke syurga; (2) perkembangan ke daerah-daerah lain di Palestina; dan (3) perkembangan selanjutnya ke negeri-negeri di sekitar Laut Tengah sehingga ke Roma.
Peranan Roh Allah merupakan ciri khas di dalam Kisah Rasul-Rasul. Roh Allah datang kepada pengikut Kristus di Yerusalem pada hari Pentakosta untuk memberi mereka kuasa. Dalam semua peristiwa yang tercatat di dalam kitab ini, Roh Allah sentiasa memimpin dan menguatkan jemaah serta pemimpin-pemimpin mereka. Perkhabaran Kristian pada masa permulaan itu diringkaskan dalam khutbah-khutbah. Semua kejadian yang tertulis di dalam kitab ini menunjukkan betapa berkuasanya perkhabaran itu dalam kehidupan orang Kristian dan dalam ikatan persaudaraan antara jemaah.
Kandungan
Persiapan untuk Pemberitaan 1.1-26
a. Perintah Terakhir dan Janji Yesus 1.1-14
b. Pengganti Yudas 1.15-26
Pemberitaan di Yerusalem 2.1—8.3
Pemberitaan di Yudea dan Samaria 8.4—12.25
Pelayanan Paulus 13.1—28.31
a. Perjalanan Pertama untuk Penyebaran Berita Baik 13.1—14.28
b. Mesyuarat di Yerusalem 15.1-35
c. Perjalanan Kedua untuk Penyebaran Berita Baik 15.36—18.22
d. Perjalanan Ketiga untuk Penyebaran Berita Baik 18.23—21.16
e. Paulus sebagai Orang Tahanan di Yerusalem, Kaisarea, dan Roma 21.17—28.31
1
Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, + sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh AllahA memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah.B Apabila mereka berkumpul,a Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. + Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” +
Yesus Diangkat ke Syurga
Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?”
Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.” + Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka. +
10 Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka. 11 “Hai orang Galilea,” kata kedua-dua orang itu, “mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.”
Pengganti Yudas
12 Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. 13 Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus. + 14 Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus.
15 Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. 16 Dia berkata, “Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. 17 Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.”
( 18 Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. 19 Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti “Tanah Darah.”) +
20 Petrus berkata lagi, “Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis,
‘Biarlah rumahnya menjadi kosong,
janganlah tempat itu didiami orang.’
Ada tertulis juga,
‘Hendaklah orang lain
mengambil alih tugasnya.’ +
21 Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. 22 Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orangb sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.” +
23 Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. 24-25 Lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.” 26 Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.
+ 1:1 Luk 1.1-4 A 1:2 Roh Allah; Harfiah: Roh Kudus. B 1:3 Pemerintahan Allah; Harfiah: Kerajaan Allah. a 1:4 Apabila mereka berkumpul; atau ketika Dia tinggal bersama-sama mereka; atau ketika Dia makan bersama-sama mereka. + 1:4 Luk 24.49 + 1:5 Mat 3.11; Mrk 1.8; Luk 3.16; Yoh 1.33 + 1:8 Mat 28.19; Mrk 16.15; Luk 24.47-48 + 1:9 Mrk 16.19; Luk 24.50-51 + 1:13 Mat 10.2-4; Mrk 3.16-19; Luk 6.14-16 + 1:19 Mat 27.3-8 + 1:20 Mzm 69.26, 109.8 b 1:22 sejak Yohanes membaptis orang; atau Yohanes membaptis Dia. + 1:22 Mat 3.16; Mrk 1.9, 16.19; Luk 3.21, 24.51