Di Tesalonika
17
Paulus dan Silas meneruskan perjalanan melalui Amfipolis dan Apolonia, lalu tiba di Tesalonika. Di situ terdapat rumah ibadat orang Yahudi. Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus, dia pergi ke rumah ibadat, dan berbincang dengan orang di situ tentang ayat-ayat Alkitab. Dia melakukan hal itu selama tiga hari Sabat berturut-turut. Dia menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian. Paulus berkata bahawa Yesus yang diberitakannya kepada mereka itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. Beberapa orang antara mereka percaya kepada kata-kata Paulus lalu mengikut Paulus dan Silas; begitu juga sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah, dan banyak lagi wanita terkemuka.
Tetapi orang Yahudi iri hati, lalu mengumpulkan pengacau di jalan-jalan dan membentuk kumpulan perusuh. Lalu mereka menimbulkan kekacauan di seluruh kota itu dan menyerbu rumah Yason untuk mencari Paulus dan Silas. Mereka hendak membawa Paulus dan Silas menghadap orang ramai. Tetapi apabila mereka tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke hadapan pihak berkuasa di kota itu dan berseru, “Semua orang ini sudah menimbulkan kekacauan di serata tempat. Sekarang mereka datang ke kota kita, dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain yang bernama Yesus.” Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu. Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. Setelah itu mereka dibenarkan pergi.
Di Berea
10 Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi. 11 Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar. 12 Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus. 13 Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh. 14 Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. 15 Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin.
Di Atena
16 Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. 17 Oleh itu dia berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan dengan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah. Setiap hari Paulus berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia. 18 Beberapa orang guru yang mengikut faham Epikuros dan faham Stoa, berdebat dengan Paulus. Beberapa orang antara mereka bertanya, “Orang ini tahu apa? Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai!”
Yang lain menjawab, “Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing.” Mereka berkata demikian kerana Paulus berkata-kata tentang Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian.b 19 Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. Di situ mereka berkata, “Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu. 20 Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.” ( 21 Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.)
22 Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. 23 Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. 24 Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. 25 Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. + 26 Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. 27 Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, 28 dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair saudara semua juga berkata,
‘Kita semua anak-Nya.’
29 Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. 30 Allah tidak mahu mengingat masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. 31 Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!”
32 Apabila orang di situ mendengar Paulus berkata tentang kebangkitan daripada kematian, beberapa orang antara mereka mengolok-olokkan dia. Tetapi yang lain berkata, “Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi.” 33 Lalu Paulus meninggalkan mesyuarat itu. 34 Beberapa orang mengikut Paulus dan percaya kepada Yesus. Antara mereka termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris serta beberapa orang lain.
b 17:18 Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian; Dalam bahasa Yunani, kata benda “kebangkitan” dapat dimengerti sebagai nama dewi. + 17:25 1 Raj 8.27; Yes 42.5; Kis 8.47