23
1 Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.”
2 Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus.
3 Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!”
4 Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!”
5 Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’”
6 Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.”
7 Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. (
8 Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.)
9 Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, “Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!”
10 Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu.
11 Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.”
Pakatan untuk Membunuh Paulus
12 Pagi-pagi keesokan harinya, beberapa orang Yahudi berkumpul untuk merancangkan suatu pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus.
13 Lebih daripada empat puluh orang termasuk dalam pakatan itu.
14 Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi, lalu berkata, “Kami sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga kami membunuh Paulus.
15 Oleh itu saudara-saudara dan anggota-anggota Majlis Agama hendaklah mengirim sepucuk surat kepada komandan Roma, untuk meminta dia membawa Paulus datang menghadap saudara semua, seolah-olah hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Kami akan bersiap-siap untuk membunuh dia sebelum dia sampai ke sini.”
16 Tetapi anak lelaki saudara perempuan Paulus mendengar berita tentang pakatan itu. Oleh itu dia masuk ke kubu dan memberitahu Paulus hal itu.
17 Kemudian Paulus memanggil seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, “Bawalah pemuda ini kepada komandan; dia mahu memberitahukan sesuatu kepadanya.”
18 Pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada komandan dan berkata, “Paulus, orang tahanan itu, memanggil saya. Dia menyuruh saya membawa pemuda ini kepada tuan, kerana dia mahu memberitahukan sesuatu kepada tuan.”
19 Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, “Apa yang hendak kamu beritahu saya?”
20 Pemuda itu menjawab, “Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti.
21 Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.”
22 Komandan itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.” Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang.
Paulus Dihantar kepada Feliks
23 Kemudian komandan itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, “Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, dan dua ratus orang askar bertombak. Mereka harus berangkat ke Kaisarea pada pukul sembilan malam ini juga.
24 Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.”
25 Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut:
26 “Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias.
27 Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia.
28 Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka.
29 Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara.
30 Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.”
31 Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris pada malam itu juga.
32 Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus.
33 Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya.
34 Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia,
35 gabenor berkata, “Baiklah! Saya akan memeriksa perkara kamu apabila pendakwa-pendakwa kamu tiba.” Lalu gabenor memberikan perintah supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Raja Herodes.