11
1 Yefta, orang Gilead, ialah seorang askar yang berani. Bapanya bernama Gilead, tetapi ibunya seorang pelacur.
2 Gilead mempunyai anak-anak lain daripada isterinya yang sah. Setelah anak-anaknya itu dewasa, mereka mengusir Yefta dari rumah. Mereka berkata, “Engkau tidak akan mewarisi apa-apa daripada ayah kami, kerana engkau anak daripada perempuan lain.”
3 Oleh itu Yefta lari daripada saudara-saudaranya lalu tinggal di wilayah Tob. Di sana dia mengetuai segerombolan orang jahat, lalu mereka pergi merompak.
4 Tidak berapa lama kemudian umat Israel diserang oleh orang Amon.
5 Ketika kejadian itu berlaku, para pemimpin Gilead menjemput Yefta kembali dari wilayah Tob.
6 Mereka berkata kepadanya, “Jadilah panglima kami supaya kami dapat melawan orang Amon.”
7 Tetapi Yefta menjawab, “Tidakkah kamu membenci aku? Kamu mengusir aku dari rumah bapaku. Mengapakah sekarang, pada masa kesusahan, kamu datang kepadaku?”
8 Mereka berkata kepada Yefta, “Sekarang kami datang kepadamu kerana kami mahu kamu ikut kami, dan mengetuai semua orang Gilead untuk memerangi orang Amon.”
9 Yefta berkata kepada mereka, “Jika kamu membawa aku pulang untuk memerangi orang Amon, dan jika TUHAN menyerahkan mereka kepadaku, maka aku akan menjadi pemerintah kamu.”
10 Mereka menjawab, “Kami setuju. TUHAN saksi kami.”
11 Oleh itu Yefta berangkat bersama dengan para pemimpin Gilead. Kemudian mereka menjadikan dia pemerintah dan panglima. Yefta menyatakan tuntutan-tuntutannya di hadapan TUHAN, di Mizpa.
12 Selepas itu Yefta mengutus orang kepada raja Amon untuk mengatakan begini, “Apakah kesalahan hamba sekalian? Mengapa tuanku menyerang negeri hamba sekalian?”
13 Raja Amon menjawab utusan Yefta, “Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka merebut negeri beta, bermula dari Sungai Arnon sampai ke Sungai Yabok dan Sungai Yordan. Sekarang kembalikanlah wilayah itu secara damai.”
14 Yefta mengirim utusan-utusan lagi kepada raja Amon
15 untuk menjawab begini, “Umat Israel tidak merebut negeri Moab ataupun negeri Amon.
16 Ketika umat Israel keluar dari Mesir, mereka menuju ke Teluk Akaba melalui padang gurun, lalu tiba di Kades.
17 Dari situ mereka mengutus orang untuk menghadap raja Edom, dan meminta kebenaran untuk melalui negerinya, tetapi raja Edom menolak permintaan mereka. Mereka juga meminta kebenaran daripada raja Moab, tetapi raja Moab pun menolak permintaan mereka. Oleh sebab itu umat Israel tinggal di Kades.
18 Kemudian mereka meneruskan perjalanan melalui padang gurun, tetapi tidak melalui negeri Edom dan Moab, melainkan mengambil jalan keliling sehingga mereka tiba di sebelah timur Moab, di seberang Sungai Arnon. Mereka berkhemah di sana, tetapi tidak menyeberangi sungai itu kerana sungai itu termasuk negeri Moab.
19 Selepas itu Israel mengutus orang kepada Raja Sihon, penguasa orang Amori di Hesybon. Mereka meminta kebenaran untuk melalui negerinya, kerana mereka dalam perjalanan ke tanah mereka sendiri.
20 Tetapi Raja Sihon juga menolak permintaan mereka. Baginda mengumpulkan seluruh angkatan tenteranya lalu berkhemah di Yahas. Kemudian mereka menyerang umat Israel.
21 Tetapi TUHAN, Allah Israel menyerahkan Raja Sihon dan angkatan tenteranya ke tangan orang Israel. Demikianlah umat Israel memiliki semua tanah orang Amori yang tinggal di negeri itu.
22 Mereka menduduki seluruh wilayah orang Amori, bermula dari Arnon di sebelah selatan sampai ke Yabok di sebelah utara, dan dari padang gurun di sebelah timur sampai ke Sungai Yordan di sebelah barat.
23 Maka TUHAN, Allah Israel itulah yang mengusir orang Amori bagi umat-Nya, orang Israel.
24 Adakah tuanku hendak merebutnya kembali? Ambillah apa yang telah diberikan oleh Kamos, dewa tuanku. Tetapi hamba sekalian akan mempertahankan segala yang telah diberikan TUHAN, Allah hamba sekalian kepada hamba sekalian.
25 Adakah tuanku berpendapat bahawa tuanku lebih baik daripada Raja Balak anak Zipor, penguasa Moab? Raja Balak sendiri tidak pernah berperang dengan Israel, ataupun mencabar Israel!
26 Israel telah menduduki Hesybon, Aroer, dan pekan-pekan di sekelilingnya, serta semua kota di pinggir Sungai Arnon selama tiga ratus tahun. Mengapakah tuanku tidak merebutnya selama itu?
27 Hamba tidak bersalah terhadap tuanku. Tuankulah yang bersalah kerana memerangi hamba. TUHAN sendirilah yang menjadi hakim. Dia akan mengadili perkara ini antara umat Israel dan orang Amon.”
28 Tetapi raja Amon tidak menghiraukan berita yang dikirim oleh Yefta itu.
29 Pada saat itu Roh TUHAN menguasai Yefta. Kemudian Yefta menjelajah seluruh Gilead dan Manasye, lalu kembali ke Mizpa di Gilead. Dari sana dia pergi ke Amon.
30 Yefta berjanji kepada TUHAN, katanya, “Jika TUHAN membenarkan aku mengalahkan orang Amon,
31 aku akan mempersembahkan orang yang pertama-tama keluar dari rumahku untuk menyambut aku, sekembalinya aku dari peperangan. Aku akan mempersembahkan orang itu kepada TUHAN sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.”
32 Oleh itu Yefta menyeberangi sungai untuk memerangi orang Amon dan TUHAN memberi dia kemenangan.
33 Yefta memerangi mereka habis-habisan, dari Aroer sampai ke kawasan di sekeliling Minit, semuanya dua puluh buah kota, dan sampai ke Abel-Keramim. Banyak sekali orang Amon yang terbunuh, sehingga mereka dikalahkan oleh orang Israel.
Anak Perempuan Yefta
34 Apabila Yefta kembali ke Mizpa, anak perempuannya datang menyambut dia, sambil menari dan memukul tamburin. Dia anak tunggal Yefta.
35 Ketika Yefta nampak anaknya, dia mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Katanya, “Aduh anakku, hancurlah hatiku! Mengapakah harus anakku yang menjadikan hatiku pedih? Aku telah bersumpah kepada TUHAN dan aku tidak dapat memungkiri janjiku!”
36 Anaknya menjawab, “Jika ayah telah bersumpah kepada TUHAN, lakukanlah apa saja terhadap diri saya untuk memenuhi janji ayah itu. TUHAN telah memperkenankan ayah membalas dendam terhadap orang Amon, musuh ayah itu.”
37 Anak perempuan itu berkata lagi kepada bapanya, “Saya cuma mohon satu hal: Berilah saya masa dua bulan, supaya saya dapat mengembara di pergunungan bersama dengan sahabat-sahabat saya. Di sana saya akan bersedih kerana saya mesti meninggal ketika masih dara.”
38 Bapanya membenarkan dia pergi selama dua bulan. Dia pergi bersama dengan sahabat-sahabatnya ke pergunungan untuk bersedih di sana kerana dia akan meninggal sebelum berkahwin dan mempunyai anak.
39 Selepas dua bulan, dia kembali kepada bapanya, lalu bapanya melakukan apa yang telah dijanjikannya kepada TUHAN. Oleh itu anak perempuannya meninggal ketika masih dara.
Itulah asal usul adat di Israel, bahawa
40 anak-anak dara pergi selama empat hari tiap-tiap tahun untuk bersedih hati mengenangkan anak perempuan Yefta dari Gilead.