BERITA BAIK
YANG DISAMPAIKAN OLEH
YOHANES
Kata Pengantar
Berita Baik yang Disampaikan oleh Yohanes mengemukakan Yesus sebagai Firman Allah yang kekal. Dia menjadi manusia dan tinggal antara kita. Sebagaimana yang dikatakan di dalam kitab ini, Berita Baik ini ditulis supaya para pembacanya dapat percaya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan Dia juga Anak Allah. Jika mereka percaya kepada-Nya, mereka beroleh kehidupan (20.31).
Selepas pendahuluan yang menyatakan Yesus sebagai Firman Allah yang kekal, bahagian pertama kitab ini mengisahkan berbagai-bagai mukjizat yang menunjukkan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan Dia juga Anak Allah. Semua hal luar biasa itu diikuti oleh percakapan yang menjelaskan apa yang dinyatakan oleh mukjizat itu. Di dalam bahagian ini, Yohanes menceritakan bahawa ada orang yang percaya kepada Yesus lalu menjadi pengikut-Nya, tetapi ada juga orang yang menentang Dia dan tidak mahu percaya kepada-Nya. Dengan panjang lebar fasal 13—17 mengisahkan bagaimana akrabnya Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya pada malam Yesus ditangkap. Kata-kata Yesus juga mempersiapkan dan menggalakkan para pengikut-Nya pada malam sebelum Dia disalibkan. Fasal-fasal terakhir mengisahkan hal Yesus ditangkap dan diadili, hal Dia disalibkan dan dibangkitkan semula, serta hal Dia menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya.
Kisah wanita yang tertangkap basah ketika berzina (8.1-11) ditandai dengan tanda kurung siku, kerana kebanyakan naskhah dan terjemahan zaman dahulu tidak memasukkan cerita itu. Sedangkan naskhah-naskhah lain memasukkannya di bahagian lain.
Di dalam kitab ini Yohanes menitikberatkan pemberian hidup sejati dan kekal, yang dianugerahkan oleh Allah melalui Kristus. Pemberian itu bermula sekarang dan dapat dialami oleh orang yang menerima Yesus sebagai jalan kepada Allah, sebagai yang menyatakan Allah dan sebagai pemberi hidup. Keistimewaan kitab ini dapat dilihat dalam penggunaan perkara sehari-hari seperti air, roti, cahaya, gembala dan domba, pokok anggur dan buahnya untuk melambangkan hakikat rohani.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-18
Yohanes Pembaptis dan Pengikut Yesus yang Mula-mula 1.19-51
Pelayanan Yesus di Kalangan Orang Ramai 2.1—12.50
Hari-hari Terakhir di Yerusalem dan Sekitarnya 13.1—19.42
Kebangkitan Yesus dan Penampakan Diri-Nya 20.1-31
Penutup: Yesus Menampakkan Diri di Galilea 21.1-25
Firman yang Memberikan Hidup
1
1 Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah.
2 Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah.
3 Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia.
4 Firman itu sumber hidup, dan hidup itu memberikan cahaya kepada manusia.
5 Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya.
6 Seorang bernama Yohanes diutus oleh Allah.
7 Yohanes datang untuk memberitahu orang tentang cahaya itu, supaya semua orang mendengar dan percaya kepada perkhabarannya.
8 Dia sendiri bukan cahaya itu; dia datang untuk mengkhabarkan cahaya itu.
9 Inilah cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia.
10 Firman itu ada di dunia. Walaupun Allah menjadikan dunia ini melalui Dia, orang di dunia ini tidak mengenal Dia.
11 Dia datang ke negeri-Nya sendiri, tetapi bangsa-Nya tidak menyambut Dia.
12 Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah.
13 Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya.
14 Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita.
15 Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, “Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.”
16 Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua.
17 Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita.
18 Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita.
Kesaksian Yohanes Pembaptis
(Mat 3.1-12; Mrk 1.1-8; Luk 3.1-18)
19 Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?”
20 Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.”
21 “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?”
“Bukan,” jawab Yohanes.
“Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi.
“Bukan,” jawabnya.
22 “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?”
23 Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini:
‘Seorang yang berseru di padang gurun:
Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’”
24 Mereka yang diutus oleh orang Farisi,
25 kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?”
26 Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu.
27 Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.”
28 Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang.
Anak Domba Allah
29 Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia!
30 Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.
31 Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.”
32-33 Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya.
34 Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.”
Pengikut-Pengikut Yesus yang Mula-Mula
35 Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya.
36 Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah!”
37 Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus.
38 Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, “Apa yang kamu cari?”
Mereka menjawab, “Rabbi, di manakah rabbi tinggal?” (Dalam bahasa Ibrani ‘rabbi’ bermakna ‘guru.’)
39 “Marilah lihat,” kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu.
40 Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus.
41 Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!” (’Mesias’ sama dengan ‘Kristus’).
42 Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus.
Yesus memandang dia lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan disebut Kefas.” (Kefas sama dengan Petrus dan bermakna: bukit batu.)
Yesus Memanggil Filipus dan Natanael
43 Keesokan harinya Yesus mengambil keputusan untuk pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus, lalu berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” (
44 Filipus berasal dari Betsaida, kota tempat Andreas dan Petrus tinggal.)
45 Kemudian Filipus mencari Natanael dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nabi-nabi. Dia Yesus anak Yusuf dari Nasaret.”
46 Tetapi Natanael berkata, “Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?”
“Marilah lihat,” jawab Filipus.
47 Apabila Yesus nampak Natanael datang kepada-Nya, Dia berkata tentang Natanael, “Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!”
48 Natanael bertanya kepada Yesus, “Bagaimana tuan mengenal saya?”
Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.”
49 Natanael berkata, “Guru, Guru Anak Allah! Guru Raja bangsa Israel!”
50 Yesus berkata pula, “Adakah kamu percaya kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang jauh lebih besar daripada hal ini!”
51 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka, dan malaikat-malaikat Allah naik turun pada Anak Manusia.”