Yesus Jalan kepada Bapa
14
1 Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga.
2 Di dalam rumah Bapa-Ku terdapat banyak tempat kediaman, dan Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu. Aku tidak akan berkata demikian kepada kamu, sekiranya hal itu tidak begitu.
3 Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal.
4 Kamu mengetahui jalan ke tempat Aku pergi itu.”
5 Tomas berkata kepada-Nya, “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimanakah kami dapat mengetahui jalan itu?”
6 Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku.
7 Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.”
8 Filipus berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya kami puas.”
9 Tetapi Yesus menjawab, “Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’?
10 Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku? Apa yang Aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada Aku sendiri. Bapa, yang tetap bersatu dengan Aku melakukan semua itu.
11 Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku. Jika kamu tidak percaya kepada apa yang Aku katakan, percayalah kepada-Ku kerana perkara-perkara yang sudah Aku lakukan.
12 Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Aku lakukan, bahkan dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa.
13 Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta demi nama-Ku, supaya kemuliaan Bapa akan dinyatakan melalui Anak-Nya.
14 Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku demi nama-Ku, Aku akan melakukannya.”
Yesus Menjanjikan Roh Allah
15 “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku.
16 Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya.
17 Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu.
18 Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu.
19 Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat Aku lagi, tetapi kamu akan melihat Aku. Kerana Aku hidup, kamu pun akan hidup.
20 Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu.
21 Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.”
22 Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Tuhan menunjukkan diri kepada kami dan bukan kepada dunia?”
23 Yesus menjawab, “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia.
24 Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku.
25 Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu.
26 Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu.
27 Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut.
28 Kamu sudah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku.
29 Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku.
30 Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku.
31 Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa.
Marilah kita pergi dari sini.”