Yesus dan Saudara-Saudara-Nya
7
Setelah itu Yesus pergi dari satu tempat ke tempat lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke daerah Yudea kerana para penguasa Yahudi di sana hendak membunuh Dia.
Pada masa itu hampir Perayaan Pondok Daun. + Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea, supaya pengikut-pengikutmu dapat melihat perbuatanmu. Tidak seorang pun menyembunyikan perbuatannya, jika dia ingin menjadi terkenal. Kamu sudah melakukan perkara-perkara seperti itu, biarlah seluruh dunia tahu akan kamu!” ( Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya.)
Yesus berkata kepada mereka, “Saat-Ku belum tiba. Saat kamu bila-bila sahaja. Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu. Tetapi dunia ini membenci Aku, kerana Aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat. Pergilah ke perayaan itu. Aku tidak pergiu kerana saat-Ku belum tiba.” Demikianlah kata Yesus, lalu Dia tinggal di Galilea.
Yesus Menghadiri Perayaan Pondok Daun
10 Setelah saudara-saudara-Nya pergi ke perayaan itu, Yesus pun pergi. Tetapi Dia tidak pergi secara terang-terangan, melainkan secara diam-diam. 11 Para penguasa Yahudi mencari Dia semasa perayaan itu. “Di manakah dia?” tanya mereka.
12 Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, “Dia orang baik.” Yang lain berkata, “Tidak! Dia menyesatkan orang!” 13 Tetapi tidak seorang pun berani bercakap secara terang-terangan tentang Yesus, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi.
14 Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan, lalu mula mengajar. 15 Para penguasa Yahudi hairan sekali lalu berkata, “Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?”
16 Yesus menjawab, “Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku, melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku. 17 Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri. 18 Seorang yang mengajarkan ajarannya sendiri, mencari kehormatan bagi dirinya sendiri. Tetapi seorang yang menghendaki kehormatan untuk orang yang mengutusnya, orang itu jujur dan tidak ada kepalsuan padanya. 19 Bukankah Musa yang memberikan Taurat kepada kamu? Tetapi tidak seorang pun antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapakah kamu mahu membunuh Aku?”
20 Orang ramai itu menjawab, “Kamu dirasuk syaitan! Siapa mahu membunuh kamu?” 21 Yesus berkata kepada mereka, “Aku melakukan suatu mukjizat, lalu kamu semua hairan. 22 Musa memberikan peraturan bersunat. Oleh itu pada hari Sabat pun kamu mahu menyunat anak lelaki kamu. (Sebenarnya peraturan bersunat bukan berasal daripada Musa tetapi daripada nenek moyang kamu sebelum Musa.) + 23 Jika seorang anak lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya tidak melanggar Taurat Musa, mengapakah kamu marah terhadap Aku kerana Aku menyembuhkan seseorang dengan sepenuhnya pada hari Sabat? + 24 Janganlah hakimi orang berdasarkan apa yang kelihatan, tetapi berdasarkan keadilan.”
Benarkah Yesus Penyelamat yang Diutus oleh Allah?
25 Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, “Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? 26 Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? 27 Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.”
28 Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, “Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia. 29 Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.”
30 Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba. 31 Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, “Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?”
Usaha Menangkap Yesus
32 Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus. Oleh itu, mereka dan ketua-ketua imam menyuruh beberapa orang pengawal Rumah Tuhan menangkap Yesus. 33 Tetapi Yesus berkata, “Aku akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Kemudian Aku akan kembali kepada Dia yang mengutus Aku. 34 Kamu akan mencari Aku, tetapi tidak dapat menjumpai Aku, kerana kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku berada.”
35 Para penguasa Yahudi berkata sesama sendiri, “Ke manakah dia mahu pergi sehingga kita tidak dapat menjumpai dia? Adakah dia mahu pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di luar negeri antara orang bukan Yahudi, lalu mengajar mereka? 36 Apakah yang dimaksudkan-Nya apabila Dia berkata bahawa kita akan mencari dia, tetapi tidak dapat menjumpainya, dan bahawa kita tidak boleh pergi ke tempat dia berada?”
Mata Air yang Memberikan Hidup
37 Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. + 38 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’”v + ( 39 Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu, Roh Allah belum diberikan, kerana Yesus belum dipermuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya.)
Orang Berpihak-pihak
40 Beberapa orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Orang ini pasti Nabi itu!”x
41 Yang lain berkata, “Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah!”
Tetapi yang lain pula berkata, “Penyelamat yang diutus oleh Allah tidak datang dari Galilea! 42 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem tempat asal Raja Daud.” + 43 Akhirnya orang berpihak-pihak kerana Yesus. 44 Beberapa orang hendak menangkap Dia, tetapi tidak seorang pun memegang-Nya.
Para Penguasa Yahudi Tidak Percaya
45 Apabila pengawal-pengawal Rumah Tuhan yang disuruh pergi untuk menangkap Yesus datang kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, “Mengapakah kamu tidak membawa dia ke mari?”
46 Para pengawal itu menjawab, “Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!”
47 Orang Farisi di situ berkata, “Adakah dia menyesatkan kamu pula? 48 Pernahkah kamu dengar seorang daripada penguasa kita atau orang Farisi yang percaya kepadanya? 49 Orang ramai ini tidak mengenal Taurat Musa. Oleh itu terkutuklah mereka!”
50 Salah seorang Farisi di situ ialah Nikodemus. Dia pernah datang kepada Yesus. Nikodemus berkata kepada mereka, + 51 “Menurut Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang sebelum perkaranya didengar dan perbuatannya disiasat.”
52 Mereka berkata, “Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah Alkitab dan kamu akan tahu bahawa tidak ada nabi yang berasaly dari Galilea?”
+ 7:2 Im 23.34; Ul 16.13 u 7:8 Aku tidak pergi; Beberapa buah naskhah kuno: Aku belum pergi. + 7:22 Kej 17.10; Im 12.3 + 7:23 Yoh 5.9 + 7:37 Im 23.36 v 7:38 Kata-kata Yesus dalam ayat 37-38 boleh diterjemahkan: “Orang yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku, dan orang yang percaya kepada-Ku hendaklah minum. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’” + 7:38 Yeh 47.1; Za 14.8 x 7:40 Nabi itu: Lihat 1.21. + 7:42 2 Sam 7.12; Mi 5.1 + 7:50 Yoh 3.1-2 y 7:52 tidak ada nabi yang berasal: Sebuah naskhah kuno: nabi itu tidak akan berasal.