Bertaubat atau Binasa
13
1 Pada waktu itu beberapa orang di situ memberitahu Yesus perihal orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus ketika mereka mempersembahkan korban kepada Allah.
2 Yesus berkata kepada mereka, “Kerana beberapa orang Galilea dibunuh secara demikian, adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada orang Galilea lain?
3 Tidak! Tetapi ingatlah, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka.
4 Bagaimanakah dengan lapan belas orang yang terbunuh di Siloam, ketika menara di sana menimpa mereka? Adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada semua orang lain yang tinggal di Yerusalem?
5 Tidak! Sekali lagi Aku berkata, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka.”
Perumpamaan tentang Pokok Ara yang Tidak Berbuah
6 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang mempunyai pokok ara di kebun anggurnya. Pada suatu hari dia mencari buah ara pada pokok itu, tetapi tidak menjumpai apa-apa.
7 Oleh itu dia berkata kepada pekebunnya, ‘Lihatlah, selama tiga tahun aku datang mencari buah ara pada pokok ini, tetapi tidak mendapat sebiji pun. Tebanglah sahaja, kerana pokok ini hanya menghabiskan kesuburan tanah.’
8 Tetapi pekebun itu menjawab, ‘Tuan, biarkanlah pokok ini tumbuh selama setahun lagi. Saya akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan menaruh baja.
9 Jika pokok ini berbuah pada tahun depan, baiklah. Jika tidak, tuan boleh menyuruh orang menebangnya.’”
Yesus Menyembuhkan Seorang Wanita Bongkok pada Hari Sabat
10 Pada suatu hari Sabat Yesus mengajar di rumah ibadat.
11 Di situ ada seorang wanita yang sakit, kerana dirasuk roh jahat selama lapan belas tahun. Dia bongkok dan tidak dapat berdiri tegak.
12 Ketika Yesus melihat dia, Yesus memanggil dia dan berkata kepadanya, “Mulai sekarang kamu sembuh!”
13 Yesus meletakkan tangan-Nya pada wanita itu dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak lalu memuji Allah.
14 Ketua rumah ibadat marah kerana Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat. Ketua rumah ibadat berkata kepada semua orang di situ, “Ada enam hari untuk bekerja; datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, tetapi jangan pada hari Sabat!”
15 Tuhan menjawab ketua itu, “Kamu munafik! Pada hari Sabat orang melepaskan lembu atau keldai dari kandang lalu membawa haiwan itu keluar untuk diberikan minuman.
16 Lihatlah, di sini ada seorang wanita keturunan Abraham yang telah diikat oleh Iblis selama lapan belas tahun. Tidak patutkah dia dilepaskan daripada ikatannya pada hari Sabat?”
17 Jawapan Yesus memalukan semua musuh-Nya, tetapi semua orang lain bersukacita kerana segala perbuatan ajaib yang dilakukan oleh Yesus.
Perumpamaan tentang Biji Sawi
(Mat 13.31-32; Mrk 4.30-32)
18 Yesus bertanya, “Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah? Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya?
19 Keadaannya seperti perumpamaan ini: Seorang mengambil sebiji benih sawi, lalu menanamnya di ladang. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok, lalu burung membuat sarang pada cabang-cabangnya.”
Perumpamaan tentang Ragi
(Mat 13.33)
20 Sekali lagi Yesus bertanya, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya apabila Allah memerintah?
21 Keadaannya seperti ini: Seorang wanita mengambil ragi lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik!”
Pintu yang Sempit
(Mat 7.13-14, 21-23)
22 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan pekan sambil mengajar.
23 Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?”
Yesus menjawab,
24 “Berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit, kerana banyak orang yang mencuba masuk, tetapi tidak dapat.
25 Pada waktu tuan rumah bangun dan menutup pintu, kamu yang berdiri di luar mula mengetuk pintu dan berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Tuan itu akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang!’
26 Kamu akan menjawab, ‘Kami sudah makan dan minum bersama-sama tuan, dan tuan juga mengajar di kota kami!’
27 Tetapi tuan itu akan berkata lagi, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, kamu semua yang melakukan kejahatan!’
28 Pada waktu kamu melihat Abraham, Ishak, dan Yakub serta semua nabi bersukacita di Dunia Baru Allah, kamu akan menangis dan menderita kerana kamu diusir ke luar!
29 Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara dan selatan, untuk menikmati jamuan di Dunia Baru Allah.
30 Sesungguhnya orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir.”
Kasih Yesus kepada Yerusalem
(Mat 23.37-39)
31 Pada masa itu juga, beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata kepada-Nya, “Tinggalkan tempat ini. Pergilah ke tempat lain, kerana Herodes hendak membunuh kamu.”
32 Yesus menjawab, “Pergilah beritahu orang licik itu, ‘Hari ini dan esok Aku mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit, lalu pada hari ketiga, Aku akan menyelesaikan pekerjaan-Ku.’
33 Meskipun demikian Aku harus meneruskan perjalanan hari ini, esok, dan lusa, kerana tidak semestinya seorang nabi dibunuh di tempat lain kecuali di Yerusalem.
34 Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam para utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam melindungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi engkau tidak mahu!
35 Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah dan engkau tidak akan melihat Aku lagi sehingga tiba masanya engkau berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’”