Pengurus yang Cerdik
16
Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang majikannya. Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, ‘Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.’ Pengurus itu berfikir, ‘Apakah harus aku lakukan? Aku akan diberhentikan kerja. Aku tidak kuat mencangkul dan aku malu meminta sedekah. Aku tahu akan apa yang harus aku lakukan, supaya apabila aku diberhentikan kerja, aku mempunyai banyak kawan yang mahu menyambut aku ke rumah mereka.’ Lalu dia memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia bertanya kepada orang yang pertama, ‘Berapakah hutangmu kepada majikanku?’ Orang itu menjawab, ‘Seratus buah tempayan minyak zaitun.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; duduklah dan tulislah lima puluh.’ Kemudian dia berkata kepada orang yang kedua, ‘Berapakah hutangmu?’ Orang itu menjawab, ‘Seribu pikul gandum.’ Pengurus itu berkata kepadanya, ‘Inilah kira-kiramu; tulislah lapan ratus.’ Majikan pengurus itu memuji kecerdikan pengurus yang tidak jujur ini, kerana orang dunia ini lebih bijak mengurus urusan mereka daripada orang yang hidup dalam terang.”
Yesus berkata lagi, “Dengarlah! Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi. 10 Sesiapa yang setia dalam perkara kecil, akan setia juga dalam perkara besar. Tetapi sesiapa yang tidak jujur dalam perkara kecil, tidak akan jujur dalam perkara besar. 11 Jika kamu tidak menggunakan kekayaan dunia ini dengan setia, bagaimanakah kamu dapat menggunakan kekayaan sejati dengan baik? 12 Jika kamu tidak setia kepada milik orang lain, siapakah mahu memberi kamu apa yang menjadi milik kamu?
13 Tidak ada seorang hamba dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaan juga.” +
Ajaran-Ajaran Yesus
(Mat 11.12-13, 5.31-32; Mrk 10.11-12)
14 Orang Farisi mendengar segala yang dikatakan oleh Yesus. Lalu mereka mencemuh Yesus kerana mereka suka akan wang. 15 Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah orang yang berpura-pura benar di hadapan manusia, tetapi Allah mengetahui isi hati kamu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia, dibenci oleh Allah.
16 Sebenarnya Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berlaku hanya sehingga masa Yohanes Pembaptis. Selepas itu, Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah diberitakan dan orang berasak-asak hendak menikmatinya. + 17 Tetapi lebih mudah bagi langit dan bumi ini lenyap daripada satu titik pun dalam Taurat ditiadakan. +
18 Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina. Demikian juga lelaki yang berkahwin dengan wanita yang telah diceraikan, berzina juga.” +
Orang Kaya dan Lazarus
19 “Ada seorang kaya; pakaiannya mahal-mahal dan hidupnya mewah setiap hari. 20 Ada pula seorang miskin bernama Lazarus. Tubuhnya penuh dengan kudis yang bernanah. Lazarus biasa dibawa ke hadapan pintu rumah orang kaya itu. 21 Dia berharap dapat mengisi perut dengan sisa-sisa yang dibuang dari meja orang kaya itu. Kadang-kadang anjing datang menjilat kudisnya. 22 Orang miskin itu meninggal lalu dibawa oleh malaikat ke sisi Abraham di syurga. Orang kaya itu pun meninggal dan dikebumikan. 23 Di alam mautw dia sangat menderita. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Abraham jauh di sana dengan Lazarus di sisinya. 24 ‘Bapa Abraham,’ seru orang kaya itu, ‘kasihanilah saya. Suruhlah Lazarus mencelupkan jarinya ke dalam air dan membasahkan lidah saya, kerana saya sengsara di dalam api ini!’ 25 Tetapi Abraham menjawab, ‘Ingatlah, anakku, seumur hidupmu kamu sudah mendapat segala yang baik, sedangkan Lazarus mendapat segala yang buruk. Tetapi sekarang Lazarus seronok di sini, sebaliknya kamu menderita sengsara. 26 Selain itu, ada pula jurang yang dalam di antara kamu dan kami, sehingga orang dari sini tidak dapat ke sana dan orang dari sana tidak dapat ke mari!’ 27 ‘Jika demikian, Bapa Abraham,’ kata orang kaya itu, ‘saya memohon supaya bapa menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayah saya. 28 Saya mempunyai lima orang saudara. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka, supaya setidak-tidaknya mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan ini.’ 29 Abraham berkata kepadanya, ‘Tidakkah mereka mempunyai Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi yang memberikan amaran kepada mereka? Sepatutnya mereka mendengarkan amaran kitab-kitab itu!’ 30 Tetapi orang kaya itu menjawab, ‘Hal itu tidak cukup, Bapa Abraham. Jika ada seorang bangkit daripada kematian lalu datang kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa.’ 31 Tetapi Abraham berkata kepadanya, ‘Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian.’”
+ 16:13 Mat 6.24 + 16:16 Mat 11.12-13 + 16:17 Mat 5.18 + 16:18 Mat 5.32; 1 Kor 7.10-11 w 16:23 alam maut: Hades.